SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan 1 September ini sebagai cuti peristiwa bagi meraikan kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Penutupan SUKMA Selangor 2026 di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini malam ini.
Menurut beliau, cuti itu diberikan atas prestasi luar biasa dalam SUKMA 2026 serta sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet dan kira-kira 10,000 sukarelawan yang membantu sepanjang temasya berkenaan.
“Saya dengan berbesar hati mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas sempena kejayaan SUKMA 2026.
“Cuti peristiwa khas itu ditetapkan pada 1 September 2026, iaitu Selasa depan,” katanya.
Turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA 2026 yang menyaksikan kontinjen Merah Kuning itu menamatkan temasya dengan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa menjadikan keseluruhan 245 pingat.
Pencapaian berkenaan sekali gus menyaksikan Selangor melepasi sasaran awal 80 emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Selangor turut meninggalkan pencabar terdekat, Wilayah Persekutuan yang menduduki tempat kedua dengan 51 emas diikuti Terengganu (43 emas) dan Sarawak (41 emas). – MalaysiaGazette
















