KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menghimpunkan 350 pemegang taruh daripada pelbagai sektor bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan input dalam merangka inisiatif yang lebih responsif terhadap keperluan rakyat, hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mempengerusikan sesi town hall tersebut berkata, sesi tahunan itu menjadi platform strategik KPKT untuk memastikan perancangan Belanjawan 2027 mengambil kira aspirasi serta keperluan sebenar rakyat dan pemegang taruh dari pelbagai sektor.
“Kesejahteraan rakyat adalah fokus utama kerajaan Madani. KPKT akan terus memperbaiki pelbagai prasarana awam termasuk pasar, medan selera, sistem perparitan, perumahan mampu milik, taman MADANI dan lain-lain utk meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Setakat hari ini, KPKT dengan kerjasama PBT telah berjaya menyempurnakan 15,832 projek kemudahan awam termasuk pembinaan 217 buah Taman Madani diseluruh negara.”
“Selain itu, KPKT juga berazam memperhebatkan pembangunan mampan yg lestari dan mesra alam dan ekonomi kitaran pada tahun depan.” katanya.
Perbincangan memberi tumpuan kepada bidang yang mempunyai impak langsung terhadap kehidupan seharian rakyat, antaranya penyediaan perumahan yang selesa dan mampu milik, pengurusan sisa pepejal yang lestari, pembangunan bandar dan komuniti yang mampan, pengurusan bencana serta pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan.
Tambah beliau, KPKT bertekad memastikan suara rakyat bukan sekadar didengar, tetapi juga diterjemahkan kepada tindakan dan keberhasilan nyata yang dapat meningkatkan kualiti hidup.
Dalam merangka cadangan Inisiatif Belanjawan 2027, KPKT turut mengambil kira tiga tonggak Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara melalui pelaburan strategik dalam sektor bernilai tinggi dan berteknologi; menaikkan lantai kesejahteraan hidup rakyat dengan memberi penekanan kepada aspek pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial; serta memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara dan penyampaian perkhidmatan awam yg cekap dan telus.
“KPKT komited untuk meneliti setiap pandangan dan cadangan yang dikemukakan sebagai input penting dalam penyediaan Inisiatif Belanjawan 2027, sekali gus memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan mampu diterjemahkan kepada hasil, impak dan manfaat yang nyata kepada rakyat,” kata beliau.
Sesi tersebut melibatkan pemegang taruh daripada pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, badan profesional, institusi kewangan, pemaju perumahan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan komuniti serta institusi pengajian tinggi.
Kepelbagaian penyertaan ini membolehkan mencerminkan kerajaan Madani mengambil berat suara rakyat dan mengamalkan dasar yang inklusif.
Menerusi sesi town hall sedemikian, KPKT memperolehi perspektif yang lebih menyeluruh dalam merangka cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 yang praktikal, inklusif dan berimpak tinggi.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib, selaku moderator; barisan Pengurusan Tertinggi serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di bawah KPKT.
Berteraskan tema “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026, dihasratkan bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi negara, malah memastikan kemajuan yang dicapai diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat secara inklusif dan mampan. -MalaysiaGazette
















