Pakar kesihatan, Dr Rafidah Abdullah bercakap pada Program PodcastMG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto SADIQ SANI, 10 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Isu perjawatan yang tidak diisi serta kegagalan mengekalkan bakat tempatan menjadi punca utama hospital kerajaan terus kehilangan tenaga kerja jururawat hingga membebankan petugas sedia ada, kata Dr Rafidah Abdullah.

“Kebanyakan mereka terpaksa menanggung beban kerja melampau (double shift) hingga menjejaskan emosi, kesihatan mental serta hubungan kekeluargaan.

“Malah, situasi menjadi lebih parah apabila masyarakat kerap meletakkan jangkaan yang tidak masuk akal serta menghimpit jururawat dengan tugas di luar skop hakiki mereka.

“Bayangkan nurse yang double shift, menjaga pesakit lebih daripada sepatutnya. Lepas tu masyarakat kita ada yang sampai suruh tukar pampers (lampin pakai buang)… Itu bukan kerja mereka.

“Jururawatlah golongan yang paling teruk kena tekan yang mana kena kritik dengan pesakit, ditekan pihak atasan dan dibuli oleh sistem,” luahnya menerusi program PodcastMG.

Tambah beliau, isu kekurangan jururawat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan lagi rahsia dan perkara itu perlu dijelaskan kepada rakyat.

Menurut Dr Rafidah, situasi tersebut belaku berikutan ketidakselarian struktur jawatan dan tindakan agresif negara jiran menjadi punca jururawat berkualiti lari ke luar negara.

“Kena beritahu rakyat hal sebenar. Kalau tak boleh nak isikan perjawatan yang lebih 10,000 kosong jururawat tu sebab mereka dah tak wujud, semua pergi ke luar negara.

“Banyak jururawat sekarang ada ijazah, tapi pos perjawatan masih peringkat diploma. Bila mereka tak ditawarkan jawatan atau biasiswa yang sewajarnya, negara luar datang ambil,” katanya lagi.

Beliau turut berkongsi kisah mengenai seorang pelajar jururawat cemerlang di institusi awam yang dinafikan penajaan biasiswa oleh kerajaan tempatan sebelum ‘disambar’ oleh pihak luar.

“Dia minta tajaan biasiswa kerajaan tetapi kena tolak. Tiba-tiba ada pihak dari negara seberang datang temuduga, tengok dia bagus, terus bagi biasiswa RM1,000 sebulan.

“Lepas lulus, dia terus berkhidmat di sana. Kita hilang pelajar dan jururawat yang baik.

“Lepas tu marah kenapa KKM tak boleh isi perjawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rafidah turut menggesa pihak kerajaan agar bersikap jujur dan telus kepada rakyat berhubung fasiliti serta keupayaan sebenar hospital awam.

“Saya juga merayu masyarakat agar bertimbang rasa dan menyemaikan rasa empati terhadap setiap keringat petugas barisan hadapan.

“Saya nak cakap kepada masyarakat, kalau boleh janganlah tekan sangat staf-staf kesihatan. Cakaplah benda yang baik-baik sahaja dan tolonglah mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here