KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy mempersoalkan sama ada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam cubaan rampasan kuasa jawatan Ketua Menteri Sabah daripada Datuk Seri Hajiji Noor.
Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, adalah mustahil untuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bertindak sendirian.
“Saya tidak fikir Bung mempunyai fikiran sendiri untuk menggulingkan Hajiji, pasti ada semacam sokongan politik daripada pemimpin UMNO di peringkat Persekutuan.
“Persoalannya ialah adakah Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi turut terlibat dalam rampasan kuasa itu? Apakah sebabnya?
“Adakah rampasan kuasa yang gagal itu adalah contoh Zahid yang berhasrat untuk memperbaharui imejnya dalam UMNO dalam perhimpunan agung yang akan datang?” soalnya.
Sementara itu, Ramasamy juga melahirkan rasa hairan dengan alasan Bung Moktar untuk mengulingkan Hajiji.
Katanya, adalah terlalu sukar untuk memahami mengapa UMNO Sabah mahu berpisah dengan Hajiji.
“Walaupun Hajiji mempunyai pakatan dengan Bersatu, dia tampil menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hajiji tiada hubungan dengan Bersatu lagi.
“Saya hairan kenapa Bung taksub dengan hubungan silam Hajiji dengan Bersatu. Mengapa Bung perlu menggunakan alasan pakatan silam Hajiji dengan Bersatu sebagai punca kehilangan mandat politik Hajiji dan mengapa beliau perlu diganti.
“Malah, Bung sepatutnya gembira kerana Hajiji telah berpisah dengan Bersatu, musuh ketat UMNO,” katanya dalam kenyataan yang ditulis dalam media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Ramasamy bersetuju dengan pandangan penganalisis bahawa cubaan rampasan kuasa tersebut ada kaitan dengan keputusan Kerajaan Pusat memberikan Sabah kuasa terhadap projek-projek infrastrukur di bawah RM50 bilion.
Media pada 6 Januari lalu melaporkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah.
Semalam Bung Moktar berharap agar Hajiji dapat menerima saranan Anwar untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai semua parti politik di negeri itu.
Keputusan itu diambil selepas pertemuan empat mata bersama Anwar, Hajiji, Ahmad Zahid Hamidi dan Bung Moktar berlangsung.- MalaysiaGazette