Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2023.- Gambar hiasan.

MALAM tadi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Pas sebagai rakan yang tidak setia.

Tok Mat merujuk pengalaman UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional yang akhirnya terlerai sebelum PRU15 lepas.

“Begitu juga, pengalaman kita, bekerjasama dengan Pas. Mereka tidak pernah, setia atau ikhlas.

“Tanpa segan, mereka berselingkuh dengan semua parti terutamanya si janda UMNO. Lihat sahaja rekod mereka, dengan DAP dan PKR. Akhirnya, semua membawa, haluan masing-masing,” katanya semasa berucap merasmikan persidangan tiga sayap UMNO malam tadi.

‘Janda’ UMNO yang dimaksudkan Tok Mat sudah pasti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tok Mat sebelum ini antara pimpinan yang amat menghargai peranan Pas sehingga ketika menegur pun, beliau memulakan ayat ‘Tanpa sedikit pun tidak mengurangkan rasa hormat kepada Presiden Pas’.

Kali ini UMNO dan Pas sudah tidak boleh bersama dan mereka kembali seperti dahulu menjadi musuh di gelanggang politik.

Bagi UMNO, bekerjasama dengan Bersatu hanya akan menggali lubang kubur.

Ternyata kerjasama UMNO dan Pas sudah berakhir apabila Barisan Nasional (BN) tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Dengan pengalaman, bekerjasama secara ‘marriage of convenience’, semenjak Langkah Sheraton, UMNO merasakan, bahawa kita memerlukan, sesuatu yang lebih lestari dan konkrit,” ujar Tok Mat.

Persoalannya ketika ini Pas melalui Perikatan Nasional (PN) menjadi parti dominan selepas PRU15.

Mereka mempunyai 49 kerusi Parlimen walaupun menjadi pembangkang.

Jika UMNO mahu menjadi pesaing Pas, mereka perlu menjadikan perjuangan Islam sebagai prioriti bagi memikat pengundi Melayu.

Satu lagi, kekanglah usaha mengembalikan semula kerjasama itu atas nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Muafakat Nasional yang diasaskan Tan Sri Annuar Musa.

Ia tidak salah kerana keahlian NGO memang merentasi parti politik namun jenama itu perlu ‘dihapuskan’ dalam minda ahli UMNO bagi menghadapi cabaran politik selepas bersama PH.

Kerjasama dengan pimpinan Pas selepas ini tidak boleh dibayangi jenama Muafakat Nasional tapi dalam agenda pembangunan Islam dan Melayu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast