KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menahan sementara peralatan milik sebuah syarikat penyediaan ais blok bagi proses penyejukan ikan, di sini, berikutan terdapat pencemaran mikroorganisma dalam sambil produknya.
Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, tindakan itu diambil berikutan sampel ais blok yang diterima pada 15 Disember 2022 menunjukkan terdapat pencemaran mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa.
“Aktiviti lak (penahanan sementara) peralatan dilakukan di bawah seksyen 4(1Kg) Akta Makanan 1983.
“Pensampelan ulangan juga telah dijalankan pada 20 Disember 2022 dan keputusan sampel yang diterima pada 8 Januari 2023 masih menunjukkan pencemaran mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa di dalam sampel ais blok,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Dr. Nor Azimi, tempoh sah lesen ais blok yang diperolehi dari Kementerian Kesihatan Malaysia bagi premis tersebut juga telah tamat pada 19 Disember lalu.
Tambah beliau, berikutan itu premis berkenaan tidak dibenarkan menjalankan aktiviti penjualan ais blok sehingga keputusan sampel ais bloknya mematuhi piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983.
Katanya, premis terbabit perlu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan pembetulan bagi memastikan tiada pencemaran mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa di dalam als blok yang dihasilkan.
“Menurut peruntukan di dalam Jadual Kedua Puluh Lima A Akta Makanan 1983, kehadiran mikroorganisma Pseudomonas aeruginosa adalah tidak dibenarkan di dalam produk ais blok.
“Ini kerana Pseudomonas aeruginosa boleh memberi kesan yang serius kepada kesihatan terutama kepada golongan yang mempunyai sistem imun yang rendah,” ujarnya.
Dr. Nor Azimi berkata, tindakan menahan sementara peralatan kilang ais itu tidak menjejaskan para nelayan mendapatkan bekalan ais blok kerana terdapat kilang yang menghasilkan produk yang sama beroperasi di daerah ini.
Bagi memastikan keterjaminan makanan perikanan tidak terjejas, nelayan atau pengusaha industri perikanan diminta menggunakan sumber ais blok daripada kilang lain yang berdekatan.
Menurut Peraturan 394A Peraturan-Peraturan Makanan 1985 memperuntukkan ais blok hendaklah diperolehi daripada air yang selamat sebagaimana standard yang ditetapkan dalam Jadual Kedua Puluh Lima A, Akta Makanan 1983.
Pemilik premis yang tidak mematuhi peraturan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun jika disabitkan dengan kesalahan. – MalaysiaGazette