Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO tidak pernah putus asa menuntut agar kuota 30 peratus diberikan kepada sayap parti itu sebagai calon bagi mewakili parti dalam pilihan raya.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, malangnya perjuangan yang mula disuarakan sejak sejak zaman Tan Sri Rafidah Aziz hingga kini masih belum tercapai lagi.

“Wanita tidak pernah putus asa untuk memperjuangkan 30 peratus ini sejak zaman Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hinggalah ke zaman saya.

“Tapi usaha ini masih belum jadi kenyataan, yang paling tinggi kita dapat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan 25 peratus, di Kedah calonnya hampir (30 peratus), tapi itu yang paling tinggi.

“Kita masih dan tetap perjuangkan secara konsisten, saya percaya dan yakin bahawa hasrat murni ini insya-Allah akan tercapai satu hari nanti dalam masa terdekat,” katanya ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, perwakilan Wanita UMNO Perak, Sabariah Zakaria ketika membahaskan ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO mendedahkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi gagal menunaikan janjinya untuk memberi kuota 30 peratus dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Lebih menyedihkan apabila Ketua Wanita UMNO yang menang bergaya dalam PRU15 lalu tidak diberikan tempat dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“Saya tertarik dengan isu yang dibangkitkan oleh perwakilan Kelantan, Selangor, Pahang, Terengganu yang sama suara Kedah tentang keterlibatan calon Wanita di dalam pilihan raya.

“Kita dulu kita cakap mengenai 30 peratus calon wanita, mungkin 30 peratus yang kita dapat, 30 kerusi Parlimen jer ni. Cuba kalau kita cakap 60 peratus, 60 kerusi puan-puan, kalau kita cakap 80 peratus, penglibatan wanita 80 kerusi.

“Lainlah kalau kita minta 100 peratus…hahaha…apa yang kita bangkitkan mengenai 30 peratus ini bukan satu perkara yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini akan meminta ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menghadiri Perhimpunan Agung Wanita UMNO untuk menjadi pendesak agar tuntutan itu dapat dipenuhi dalam enam PRN pada tahun ini.

“Kita minta wakil-wakil MKT yang ke Perhimpunan Wanita UMNO untuk membantu jadi tukang beri tekanan kepada kepimpinan parti agar calon 30 peratus wanita ini dapat dilaksanakan.

“Kita memang sabar, sabar pun ada hadnya, walaupun kita tunggu bertahun-tahun, Insya-Allah saya yakin dan percaya tiba masa dan ketikanya perjuangan ini akan membuahkan hasil

“Kita akan konsisten memperjuangkan penglibatan Wanita UMNO sehingga sasaran minimum 30 peratus ini berjaya. Kita mahu kali ini mesti ada jumlah sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita,” katanya.

Katanya lagi, Wanita UMNO tidak ketandusan calon malah ramai yang terpelajar dan mempunyai kerjaya yang cemerlang termasuk dalam bidang profesional di negara ini.

“Kita tidak ketandusan calon, ada calon yang memiliki Diploma, Ijazah, Master, PhD pun ramai malah profesional juga ramai, doktorate punyalah ramai dalam kalangan calon-calon wanita.

“Siapa cakap wanita ini tak cukup calon, kalau calon Wanita UMNO ini diketengahkan, takut nanti yang lain pula nampak tak munasabah pula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast