KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan memperluaskan jaringan perlindungan keselamatan sosial dan pembudayakan amalan berinfaq.
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed berkata, menerusi MoU yang dimeterai itu PERKESO dan YaPEIM akan saling menyokong untuk memperkasa sosioekonomi masyarakat Malaysia secara komprehensif dan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial yang mampan terutamanya golongan asnaf, masyarakat rentan termasuk suri rumah dan usahawan di bawah YaPEIM.
“Saya gembira kerana kerjasama antara dua agensi ini akan menyaksikan individu asnaf dan usahawan bimbingan YaPEIM dilindungi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.
“Dengan perlindungan SKSPS, kebajikan mereka dan keluarga terjamin sekiranya berlaku apa-apa musibah sewaktu melakukan pekerjaan sendiri atau berniaga,” katanya ketika berucap pada majlis memeterai Mou itu di Putrajaya, hari ini.
Pada majlis itu, Dr. Mohammed Azman mewakili PERKESO manakala YaPEIM diwakili Pemangku Ketua Pengarahnya, Awang @ Musran Tawil.
Menurut Dr. Mohammed Azman, kolaborasi ini juga melibatkan Program Social Synergy PERKESO yang bertujuan menangani permasalahan kemiskinan, keciciran dan ketidak sepaduan manfaat keselamatan sosial.
Tambah beliau, bagi menangani isu pertindihan dan keciciran manfaat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, serta meningkatkan kemahiran dan menyediakan peluang mata pencarian kepada mereka, Program Social Synergy bertindak sebagai exit strategy kepada masalah kemiskinan di negara ini.
Katanya, kolaborasi antara PERKESO dan YaPEIM juga bakal melihat penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di cawangan YaPEIM terpilih di seluruh Malaysia.
“Inisiatif ini akan meningkatkan akses pencari kerja kepada tawaran peluang pekerjaan menerusi khidmat Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs.
“Sepanjang tahun 2022, Portal MYFutureJobs telah membantu lebih daripada 294,044 rakyat tempatan memperoleh pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi,” ujarnya.
Dr. Mohammed Azman berkata, selain itu, golongan suri rumah di bawah YaPEIM boleh mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) PERKESO untuk perlindungan terhadap kemalangan, penyakit atau kematian sewaktu menguruskan rumah tangga.
Katanya, dengan caruman sebanyak RM120 setahun yang dibayar secara in advance, skim ini dibuka kepada wanita yang berkahwin atau bujang, dan juga ibu tunggal.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru para suami agar membayar caruman bagi pihak isteri masing-masing, sebagai penghargaan kepada jasa dan pengorbanan isteri dalam menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anak,” katanya.
Malah, tambah beliau, selain suami, mana-mana pihak ketiga juga seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat swasta boleh menaja caruman kepada suri rumah sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka. – MalaysiaGazette