KUALA LUMPUR – Usul supaya jawatan Presiden UMNO dan timbalannya tidak dipertandingkan bukan sahaja dianggap menutup demokrasi dalam UMNO malah bertentangan dengan semangat keberanian yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Ahmad Zahid sendiri membayangkan kepadanya bahawa beliau bersedia untuk dicabar dalam pemilihan UMNO tahun ini.
Sehubungan itu, beliau meminta ruang demokrasi dalam UMNO dibuka dengan membenarkan semua jawatan dipertandingkan.
“Alhamdulillah pagi tadi saya telah bertembung dengan Datuk Seri Zahid. Sambil saya salam, beliau telah sebut bahawa ready to fight (sedia untuk berlawan).
“Maknanya beliau (Ahmad Zahid) bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran dalam pemilihan UMNO,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video dalam Insta Story miliknya hari ini.
Difahamkan, ‘pertembungan’ antara Khairy dan Ahmad Zahid itu berlaku semasa mereka menghadiri Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Malam tadi, seramai 140 ketua UMNO bahagian mencadangkan agar dua jawatan tertinggi dalam UMNO tidak dipertandingkan dan penyandangnya dikekalkan.
Ketika ini, timbul spekulasi bahawa Khairy mungkin mencuba nasib sekali lagi untuk jawatan Presiden UMNO setelah tewas kepada Ahmad Zahid pada pemilihan parti 2018. – MalaysiaGazette