KUALA LUMPUR – Kesemua pemimpin UMNO yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan perlu menunjukkan prestasi cemerlang bagi meyakinkan rakyat parti masih relevan untuk masa depan.
Ini kerana tanggapan yang dimomokkan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dianggap parti kotor dan korup manakala Perikatan Nasional (PN) parti suci dan bersih, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
Beliau berkata, rakyat tertunggu-tunggu prestasi enam menteri dan enam timbalan menteri yang mesti dilihat sebagai kumpulan yang paling cemerlang dalam kerajaan hari ini.
“Kalau team bola, sekiranya bermain seperti Argentina, Messi itu ialah dari UMNO. Kerajaan ini mesti kembali menjadi kerajaan world class, ia menjadi world class kerana pemain terbaiknya dari UMNO. Yang dilahirkan dari sekolah UMNO. Dari bangunan WTC (Pusat Dagangan Dunia) ini.
“Cukup-cukuplah nyanyian Hoi Hoi Ya Hoi itu kerana inilah pemain-pemain yang bersama kamu untuk mendokong kerajaan ini dan sama-sama membangunkan kembali negara yang semakin
runtuh ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2022 di WTC hari ini.
Menurut Zahida, sebagai parti yang sentiasa berbangga dengan track record sebelum ini, UMNO sepatutnya memiliki tanda aras bagi menjadikan negara ini lebih baik dari segi pencapaian yang pernah dicapai sebelum 2018 dahulu.
“Kini kerajaan sudah dibentuk dan boleh dikatakan hampir
semua pemimpin parti kita yang dilantik dalam kerajaan adalah terdiri dari mereka yang berada dalam hierarki parti kita.
“Mereka mesti mempertanggungjawabkan kerja mereka bukan sahaja kepada pucuk pimpinan kerajaan yang melantik mereka, tetapi juga kepada parti yang mereka tunjangi. Kita tuntut kesetiaan mereka kepada parti ini,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam serba kekurangan, mereka yang berada dalam kerajaan mestilah memberi impak besar kepada kerajaan kerana mereka juga membawa nama baik UMNO.
“Baik mereka baiklah UMNO, buruk mereka buruklah
UMNO. Tingkah laku dan gerak kerja mereka adalah cerminan kepada UMNO parti yang mendokong mereka ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Dalam bolasepak kalau Malaysia kalah teruk 10-0, biasanya jurulatih akan kena pecat atau undur diri, tapi UMNO walaupun sudah kalah teruk jurulatih tidak mahu undur diri, dia kata bukan salah dia tapi salah padang dan pihak lawan.