Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Parti tunjang kaum Melayu, UMNO perlu segera memulihkan imejnya yang kalah teruk dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) untuk kembali diterima rakyat.

Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, langkah itu perlu digerakkan segera demi meneruskan proses ‘survival’ parti.

Malah Shahril berkata, pemulihan UMNO mesti dinaungi sendiri oleh orang UMNO dan bukannya bergantung kepada kekuatan parti lain.

“Kebangkitan UMNO bukan melalui PN (Perikatan Nasional) atau PH (Pakatan Harapan), tetapi mesti melalui UMNO sendiri.

“Kalau kita mimpi jalan kebangkitan (dengan) kita tak payah reform (berubah), tak payah buat apa-apa, menang guna kekuatan orang lain, maka kita tidak ubah dengan mentaliti jalan singkat untuk merawat sakit kita.

“Kuasa atau kerusi yang dimenangi atas ihsan parti lain tanpa reform (berubah) imej tidak akan perkuatkan parti kita. Ia hanya menambah kebergantungan parti kita kepada parti lain, lantas reform (berubah) kita menempah kepada kekecewaan,” katanya dalam sesi ucapan penggulungan Perhimpunan Agung bagi sayap Pergerakan Pemuda UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Shahril juga berkata, sayap Pemuda itu perlu melihat kembali matlamat dan tujuan utama mereka terjun ke arena politik.

“Esok, siapa pun kemudi parti ini, kalau tak ikhlas memperbetulkan keadaan, esok kalau karam, karam semua terus. Tiada lagi ‘team’ (pasukan) apa-apa pun. Jadi hal menentukan ‘survival’ parti mesti mengatasi segalanya.

“Keputusan yang kita buat hari ini, kenalah betul untuk lima, 10, 15 tahun akan datang. Kerana pemuda, kalau jiwanya benar-benar pemuda, akan fikir apa yang terbaik untuk parti aku dalam jangka masa panjang,” tambah Shahril lagi.

Malah sayap Pemuda juga harus mengelak daripada terjerus ke dalam politik langganan seperti aplikasi ‘Netflix’ yang boleh ditukar-tukar prinsipnya mengikut keadaan dan kehendak mana-mana pihak.

“Kalau untung kita teruskan langganan, kalau tak kita berhenti dan tukar yang lain. Berhentilah politik Netflix ini, terus bawa politik perjuangan, politik prinsip dan hentikan politik langganan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Peluang dan masa terbaik untuk memilih presiden baharu! Diharap presiden baharu nanti tidak berlengah untuk membawa parti keluar dari kerajaan minoriti sekarang. Selamat memilih, pastikan yang dipilih nanti benar2 layak untuk kerusi presiden.

Comments are closed.