Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO menyarankan jawatan presiden dan timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini.

Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, saranan itu perlu selepas mengambil kira keadaan yang berlaku dalam parti ketika ini dan situasi politik semasa.

“Adalah lebih elok supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan. Berikanlah mereka ruang dan sokongan untuk memulih serta memperkasakan UMNO demi survival politik parti dan negara.

“Tambahan pula, melihat apa yang sedang berlaku dalam parti dan situasi politik semasa, tiba masanya kita bersama dengan kepimpinan yang ada, bangkit bersama memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat serta membawa UMNO kembali ke landasan perjuangan yang hakiki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Noraini turut mengajak semua ahli pergerakan itu agar menginsafi bahawa menang atau kalah adalah lumrah perjuangan.

Katanya, adat orang berjuang biar pun kalah tetapi tidak sesekali mengalah apatah lagi mudah menyerah atau tergamak berpaling tadah.

Beliau mengambil contoh kata-kata tokoh pejuang wanita nusantara, Raden Adjeng Kartini iaitu, “Jangan pernah menyerah jika kita masih ingin mencuba. Jangan biarkan penyesalan datang kerana kita selangkah lagi untuk menang”.

Menurut Noraini, dalam keadaan sekarang, amat mudah untuk semua dirundung sedih dan kecewa berpanjangan.

“Itu fitrah kerana kita benar-benar sayangkan parti. Tiada siapa boleh halang. Namun kita perlu mengingati kembali iktikad asal mengapa kita berada di dalam parti ini.

“Saya percaya setiap seorang daripada kita semua ada iktikad yang tersendiri mengapa kita membawa obor perjuangan parti.

“Iktikad inilah yang membulatkan tekad kita semua untuk terus cekal mengibarkan bendera parti untuk menyanyikan lagu UMNO saban minggu, untuk terus berdepan tohmahan dan cacian tanpa rasa jemu, tanpa jerih, tanpa lelah,” ujar beliau.

Beliau turut mengajak perwakilan untuk bersama meneroka kembali jiwa dan hati serta mencari kembali iktikad itu dan menjelmakannya semula sebagai semangat yang segar dan baharu.

“Kita perlu menguatkan pegangan kita pada iktikad ini. Kita perlu kuatkan kembali keyakinan bahawa iktikad inilah yang kita percaya sebagai nilai asas yang membentuk negara yang kita sayangi.

“Kekalahan ini amat perit tetapi tidak cukup untuk melunturkan semangat perjuangan kita walaupun ia amat mengecewakan, tetapi tidak akan sesekali menghilangkan kepercayaan kita bahawa hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) jalan terbaik untuk agama bangsa dan negara.

“Kita tidak akan sesekali berputus asa dalam perjuangan. Kita tidak akan sesekali mengabaikan prinsip kita, dan yang penting, kita tidak akan sesekali mengabaikan bendera ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepimpinan Wanita bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semakin hamper.

Katanya, beliau faham ahli dan jentera masih lagi penat dengan kempen Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu tetapi pada masa sama PRN di enam negeri tetap akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Suka atau pun tidak, kita semua kena tetap bersedia untuk memastikan kemenangan parti kita. Presiden pun sudah membuat keputusan untuk menggunakan logo dacing pada PRN yang akan datang.

“Segala perkiraan, strategi, telahan dan ikhtiar yang kita rencanakan dalam perhimpunan ini mungkin tidak sempat dilaksanakan dengan secukupnya menjelang PRN nanti.

“Sama ada berlaku serentak di enam negeri atau berasingan masih lagi menjadi teka-teki, sama ada dipanggil dalam beberapa minggu atau sehingga bulan Mei masih lagi menjadi satu persoalan,” katanya.

Walau apapun, katanya, Wanita UMNO tidak boleh sesekali alpa atau menyerah kalah, malah kesiapsiagaan perlu sentiasa ditahap yang tertinggi. – MalaysiaGazette