polemik zahid
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pemimpin dan ahli parti menghentikan polemik mencari kesalahan ekoran keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) yang kurang memberangsangkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, jika polemik yang mengunakan pelbagai desakan dan kecaman itu berterusan, UMNO tidak akan bergerak ke hadapan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan para pemimpin dan ahli parti boleh sahaja menggariskan pelbagai alasan dan punca dengan menuding jari ke sana sini namun mereka tidak sepatutnya menjadi seperti ‘telunjuk lurus kelingking berkait’.

“Saya boleh sahaja menggariskan, adanya kempen pilihan raya calon kita memburukkkan partinya sendiri. UMNO katanya parti korup, UMNO sudah rosak, sudah sesat dan pelbagai nista dilemparkan. Sehingga ucapannya dijadikan modal pihak pembangkang menyerang kembali UMNO.

“Boleh juga saya menyebut, poster boy….poster boy perlu bertanggungjawab sepenuhnya, kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam PRU-15,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur  hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menafikan dakwaan kononnya ada persefahaman awal degan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan bersama selepas PRU-15.

Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk itu juga menangkis tuduhan kononnya wujud perjanjian sulit dengan PH yang ditandatangani tanpa pengetahuan parti sebelum PRU-15.

“Saya sendiri ditentang oleh tokoh dari PKR di Bagan Datuk. Apakah ini bermakna, saya ada perjanjian sulit dengan PH? Apakah saya sendiri mahu mengecilkan peluang kemenangan saya di Bagan Datuk?” soalnya.

Ahmad Zahid berpandangan adalah tidak adil apabila pihak tertentu menuduh beliau selaku Presiden UMNO bertindak secara bersendirian dalam soal pemilihan calon.

Beliau memberitahu, daripada seramai 119 calon UMNO, hanya enam sahaja yang bertukar pada saat akhir atas beberapa pertimbangan.

“Bakinya 113, adalah hasil rundingan dengan pengerusi perhubungan negeri bersama Top Five,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap penjelasan yang diberikan itu dapat meleraikan segala nista dan cacian yang dilemparkan kepada parti khususnya terhadap beliau secara peribadi.

Beliau meminta semua pemimpin dan ahli UMNO memikirkan sama ada usaha yang melibatkan semua struktur kepimpinan parti, menampilkan muka-muka baharu sebagai proses pembaharuan dalaman parti, mengurangkan persepsi UMNO adalah parti warlord boleh ditafsir sebagai langkah mengecilkan peluang kemenangan parti.

“Jika muka baharu yang tewas pada PRU-15, muka lama dengan nama besar juga tewas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast