Sharudin Bin Hamid

KUANTAN – Tindakan seorang peniaga durian membuang 600 kilogram (kg) kulit durian di Raub mengundang padah apabila perbuatannya itu dihidu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, pihaknya telah menahan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an pada jam 10.44 pagi di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Tras, Raub.

“Hasil pemantauan mendapati lelaki itu masuk ke kawasan tersebut menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum membuang sisa kulit durian seberat 600 kilogram di lokasi itu, tapak tidak dibenarkan.

“Operasi dan pemantauan berkala sepasukan anggota penguat kuasa SWCorp daerah Raub dilakukan berikutan peningkatan aduan pembuangan sampah kulit durian di tapak haram ini diterima,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sharudin berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) daripada penahanan tersebut.

Individu terlibat boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan, katanya.

Justeru beliau meminta penjual buah itu mematuhi arahan yang ditetapkan di bawah Akta 672 dan melupuskan sisa di tempat yang dibenarkan sahaja bagi mengelak dikenakan tindakan. – MalaysiaGazette