Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beramah mesra dengan perwakilan semasa hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO yang memaafkan tindakan 10 ahli Parlimen yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Beliau bagaimanapun kesal kerana kesemua ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nsional terbabit masih dilabel sebagai pengkhianat sedangkan mereka tidak tahu perkara sebenarnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) kerana memaafkan 10 ahli Parlimen, katanya pengkhianat tetapi sehingga hari ini saya tak tahu apa sebabnya kita dituduh sebagai pengkhianat.

“Saya cukup yakin bahaya apa yang telah berlaku tak ada benda yang patut kita opologetik sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Hishamuddin didakwa salah seorang daripada 10 ahli Parlimen BN yang terlibat menyokong Muhyiddin melalui Langkah St Regis.

Terdahulu, Presiden UMNO dalam ucapan dasar ketika merasmikan PAU2022 hari ini memaafkan tindakan 10 ahli Parlimen yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Hishammuddin tidak  bimbang jika Lembaga Disiplin UMNO mahu mengambil tindakan ke atasnya kerana insiden itu.

“Kalau mereka nak ambil tindakan, ambillah, tak ada benda yang saya perlu bimbang,” tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu yang mempertahankan tindakannya itu sambil menegaskan, ia tidak selari dengan keputusan PAU2021 jika UMNO melakukan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Tetapi bila parti sudah buat keputusan, kita berkecuali pada satu ketika dahulu bahaya kita tarik balik SD berkenaan. Selepas itu, bila Tuanku (Yang Di-pertuan Agong)  titah kita setuju mewujudkan Kerajaan Perpaduan, kita pun anggap itu kehendak parti, kita bersetuju. Jadi di mana pengkhianatannya?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette