Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak berhasrat untuk mencabar mahupun menghantar notis bantahan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Sebaliknya Ismail Sabri menyerahkan perkara itu kepada mana-mana ahli UMNO yang mempunyai kepentingan untuk berbuat demikian.

Ia susulan keputusan PAU2022 yang meluluskan usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada tahun ini.

“Tidak (hantar notis bantahan keputusan PAU2022)… saya hanya sebut ada dua pandangan yang berbeza sahaja.

“Sesiapa sahaja, ahli parti boleh (hantar notis bantahan) yang ada kepentingan dalam parti, sesiapa pun untuk mendapat pandangan daripada ROS,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Terdahulu, usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang yang diluluskan pada PAU2022 hari ini

Hasil undian itu mendapati lebih 90 peratus perwakilan bersetuju dengan usul berkenaan, manakala kurang 10 peratus sahaja tidak bersetuju dengan pindaan itu.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata, perhimpunan agung tahunan itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan termasuk menghalang pemilihan jawatan tertinggi parti dijalankan setiap tiga tahun ataupun membuat penangguhan.

Jelasnya, walaupun PAU merupakan kuasa tertinggi dalam parti dan boleh membuat sebarang keputusan, namun ia masih tertakluk kepada Fasal 8.1 Perlembagaan UMNO. – MalaysiaGazette