Ruslin Jusoh

MELAKA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpaksa menangguhkan pengeluaran kad pengenalan MyKid untuk tempoh enam bulan susulan kekurangan bekalan mikrocip diperingkat global.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, masalah perolehan bekalan itu berlaku sejak pandemik Covid-19 disebabkan mendapat permintaan dunia yang tinggi termasuk dalam penggunaan bidang automotif.

Jelasnya, bagaimanapun proses pendaftaran bagi permohonan Mykid akan berjalan seperti biasa dan tidak bercadang untuk menangguhkan pengeluaran kad pengenalan kanak-kanak itu.

“Proses (permohonan) akan berterusan, setelah perolehan baharu bekalan cip kita akan serahkan secara berperingkat tapi untuk tempoh ini JPN bercadang akan membuat penangguhan sementara pengeluaran MyKid.

“Kita harap ibu bapa dapat bersabar kerana JPN sedang dalam proses perolehan baharu yang cuba akan selesaikan dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Rohana Ariffin, 58, bersyukur selepas cucunya, Nur Aleeya Ammar, 12, menerima kad MyKid yang disampaikan Ruslin pada Program Program Mekar Ehsan JPN Melaka di Bukit Godek, Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Serahan MyKad kepada pemohon orang kurang upaya(OKU), Nur Aleeya Ammar di bawah Program MEKAR Ehsan JPN Melaka di Bukit Godek, di sini, hari ini.

Hadi sama, Pengarah JPN Melaka, Norazalee Sulaiman.

Mengulas lanjut Ruslin berkata, rakyat dan semua agensi kerajaan serta swasta disaran untuk menggunakan sijil kelahiran anak sebagai pengganti atau dokumen pengenalan diri.

“Saya juga menyeru kepada semua agensi kerajaan dan swasta untuk menerima sijil kelahiran kanak-kanak bagi sebarang urusan rasmi sama ada kegunaan sekolah atau pusat kesihatan.

“Mykid bukanlah satu-satunya dokumen diiktiraf kerana kita ada sijil kelahiran yang sah dikeluarkan kerajaan,”katanya. – MalaysiaGazette.