Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli beramah mesra bersama perwakilan selepas Konvensyen Pilihanraya PKR negeri Selangor di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2023.

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian untuk tidak meneruskan petisyen Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Pagoh.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ia bagi memberikan fokus kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

“Saya rasa PH tidak akan teruskan petisyen tersebut kerana fokus kita dalam empat hingga enam bulan ini adalah untuk uruskan ekonomi jadi dan kita akan berhadapan deng PRN di enam negeri.

“Saya tidak mahu seret jentera parti dan kepimpinan kepada perkara yang dalam PRU yang lepas, walaupun kita boleh teruskan kerana benda ini agak jelas.

“Salah satu sebabnya ialah saya tidak mahu memanjangkan soal ucapan-ucapan yang berbaur perkauman itu yang diucapkan oleh Muhyiddin semasa kempen.

“Soal Kristianiti dan Yahudi itu saya rasa itu akan beri ruang yang lebih banyak polemik soal perkauman dan agama,” katanya dalam sidang media pada Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor yang juga Ketua PH Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari.

Pada November tahun lalu, Rafizi berkata, pihaknya akan mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika Pengerusi Perikatan Nasional (PN)  memenangi kerusi Parlimen Pagoh.

Petisyen mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 itu ekoran Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan membawa ancaman kepada ketenteraman awam.

Tindakan itu, kata Rafizi, sebagai susulan daripada penularan video ucapan Muhyiddin yang tular di media sosial ketika tempoh PRU15 yang didakwa mengaitkan pembangkang ketika itu, PH dengan agenda Yahudi dan memurtadkan umat Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua perlu menjalani proses rayuan seperti bekas ahli-ahli parti yang lain selepas dipecat daripada PKR.

Beliau menasihatkan agar lebih baik bekas Ahli Palrimen Batu itu melalui proses normal daripada bertindak merayu terus kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya cadangkan Tian Chua yang nak rayu belas ihsan presiden lebih baik lalui proses Lembaga Rayuan. Mereka akan bentang kepada MPP (Majlis Pimpinan Pusat PKR) untuk buat keputusan akhir.

“Kalau dia tak merayu dan merayu terus kepada presiden nanti dia akan jadi serba salah dan sukar kepada mereka lain yang dipecat, kita bagi isyarat yang tak baik kepada yang lain, ada pilih kasih. Itu terpulang kepada Tian Chua kalau nak rayu terus (kepada presiden).

“Dia boleh lalui proses itu. Nasihat saya rayu kepada Lembaga Rayuan,” katanya dalam sidang media sama.

Awal hari ini, Tian Chua berharap Anwar memaafkan dirinya kerana melanggar peraturan parti dan menerimanya semula sebagai ahli.

Keahlian Tian Chua ditamatkan minggu lalu susulan tindakan bertanding sebagai calon bebas menentang PKR pada PRU15 lalu.

Beliau bagaimanapun diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan.

Beliau kalah teruk ditangan penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran dengan hanya memperoleh 4,603 undi dan hilang deposit. – MalaysiaGazette