Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini mempunyai undi tentera yang banyak, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sebagai Menteri Pertahanan, katanya, beliau akan turun di enam negeri berkenaan untuk memastikan calon Barisan Nasional (BN) yang di kawasan ramai tentera mendapat undi daripada pasukan keselamatan itu.

“Insya-Allah saya akan turun ke kem-kem tentera di enam negeri menjelang PRN nanti,” katanya.

Katanya, negeri yang tidak menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu ialah Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang

“Sebagai Pengarah Pilihan Raya juga, keutamaan saya ialah memastikan kawasan yang ada yang kem tentera akan saya lawati.

“Di bahu saya terpikul satu tanggungjawab, namun saya bertuah dapat undi besar dari tentera walaupun kawasan lain kalah dan mengecewakan saya,” katanya dalam ucapan penutup sebelum Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022)  hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad menyambut baik pelantikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Naina Merican untuk membantunya dalam operasi war room dan bilik-bilik gerakan.

Katanya, pelantikan yang diumumkan presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini bagi menambahkan lagi gerak kerja parti pada PRN ini.

“Saya akan berbincang dengan Reezal Naina Merican bagaimana cara untuk kita urus dengan lebih baik serta membaiki apa juga isu yang timbul seperti data pengundi. Kita setakat ini tidak ada nombor telefon pengundi walaupun beberapa kali kita mohon, tapi tidak dapat.

“Saya harap Reezal Merican dapat uruskan perkara ini untuk mengurangkan kerja dan dapat menembusi pengundi di kawasan masing-masing,” katanya.

Mohamad juga meminta semua ahli UMNO memberi peluang kepada parti untuk meneruskan gerak kerja demi masa depan parti.

“Keutamaan kita ialah apa yang dilakukan pucuk pimpinan parti ialah untuk memulakan langkah menghadapi PRU16 nanti. Berilah peluang untuk kita urus parti,” katanya.

“Tembok kita sudah pecah, marilah kita kutip semula batu-batu untuk bina benteng UMNO yang baru. Parti kita amalkan demokrasi, pujuk kawan-kawan kita supaya kembali kepada kita kerana inilah demokrasi yang kita amalkan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan bukan sebagai gabungan, sebaliknya bersama dalam kerajaan. – MalaysiaGazette