KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengumumkan keputusan sama ada mahu mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden UMNO atau sebaliknya dalam pemilihan UMNO kali ini.
Beliau berkata, sekiranya keputusan itu diumumkan lebih awal dari tarikh pemilihan, ahli Parlimen Bera itu khuatir ia akan disalahertikan mana-mana pihak hingga menimbulkan kontroversi.
“Kalau diputuskan tadi (ada pertandingan), setakat hari ini saya pun tak boleh nak umum saya nak bertanding ke, tak bertanding ke, saya tak boleh.
“Saya rasa lepas PRU15, inilah pertama kali saya bertemu dengan media. Saya tak berjumpa dengan media, tidak membuat sebarang kenyataan kerana saya takut disalah anggap, pelbagai spekulasi timbul.
“Saya cuti kat Dubai pun orang kata saya ada Langkah London, biar keadaan tenang, kita adakan perhimpunan dahulu, kerana yang pentingnya adalah parti itu perlu diperkukuhkan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Terdahulu, usul tambahan berkaitan jawatan tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang yang diluluskan pada PAU2022 hari ini.
Hasil undian itu mendapati lebih 90 peratus perwakilan bersetuju dengan usul berkenaan, manakala kurang 10 peratus sahaja tidak bersetuju dengan pindaan itu.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan ibu pejabat UMNO tidak akan menerima kertas pencalonan bagi pemilihan parti selepas usul tambahan diluluskan Perhimpunan Agung UMNO 2022 diluluskan, hari ini.
“Kalau keputusannya tidak dipertandingkan dan keputusan itu sah dari segi perundangan, tentu sahaja ibu pejabat tidak akan menerima (pencalonan).
“Bagi saya ibu pejabat tidak akan menerima sebarang kertas pencalonan, kalau sah apa yang diputuskan,” jelasnya.
Ditanya tentang keputusan PAU2022 yang meluluskan usul tambahan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan memberi gambaran demokrasi sudah mati dalam kalangan akar umbi, beliau tidak menafikan sambil menyifatkannya sebagai tidak jelas.
“Kalau akar umbi tentulah pandangan dari bawah, tidak terus ke peringkat tertinggi, tapi mungkin ada bahagian yang buat, setahu saya banyak bahagian tak buat.
“Mesyuarat bahagian dan cawangan tak berlaku, kalau nak kata daripada akar umbi, saya agak samar-samar.
“Sebetulnya usul itu perlu dibuat peringkat cawangan dan bahagian, baru bawa ke peringkat tertinggi,” katanya.
Katanya lagi, usul tambahan yang diluluskan itu juga tidak mengikut proses dan Perlembagaan UMNO.
“Perkara itu perlu ada notis 14 hari kalau dari UMNO Negeri, kalau notis daripada MT, mesti ada 7 hari notis.
“Usul tambahan tadi cuma semalam sahaja dibawa dan baru dimasukkan usul tersebut, walaupun ada pindaan, tapi di bawah Fasal 20.3.3 mengatakan jika ada pindaan usul yang sama.
“Kalau nak perbetulkan dari segi perkataan atau ayat dan sebagainya, tapi bukan ditambah perkara baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette