KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya UMNO menyemak semula Agenda Melayu selepas parti Melayu itu menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dianggotai DAP, PKR dan Amanah.
Perwakilan UMNO Johor, Datuk Pandak Ahmad berkata, ia harus bermula dengan UMNO dengan mengembalikan kepercayaan sebilangan besar orang Melayu khususnya di kawasan luar bandar.
“Sekarang merupakan masa yang sesuai untuk memperkukuhkan semula the soul of UMNO. Roh perjuangan dan ideologi parti perlu diperkuatkan, agar UMNO dapat menguasai semula naratif politik Melayu.
“UMNO merupakan parti yang sudah lama berjasa. Keberadaan parti ini selepas PRU-15 merupakan satu kejanggalan politik yang tidak dapat dielakkan lagi,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung 2022 (PAU2022) di sini hari ini.
Tambah Pandak, UMNO sudah tiada lagi pilihan selain daripada menerima dan melakukan yang terbaik untuk memperbaharui parti itu.
“Kepada bahu-bahu kita jualah, parti ini dapat dipulihkan semula. Semoga roh perjuangan dan ideologi UMNO sentiasa hidup, segar dan sentiasa mekar, merentasi masa hadapan yang masih belum sempurna riwayatnya,” katanya.
Katanya lagi, pemimpin UMNO perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam usaha mendepani landskap politik baharu dan ketidaktentuan ini, bagi kelangsungan parti itu.
“UMNO mesti kembali menjadi juara dalam membela nasib rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette