SERDANG – Pengunjung sebuah pusat membeli-belah di sini cemas apabila sebuah kedai kasut yang terletak di tingkat dua musnah dalam kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 11.39 pagi.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dan Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bergegas ke tempat kejadian itu.
“Sejurus tiba jam 11.52 pagi tadi mendapati kebakaran melibatkan sebuah unit kedai kasut berjenama popular berdekad lama yang terletak dalam pusat beli belah berkenaan terbakar 100 peratus,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kerja-kerja pemadaman dijalankan oleh anggota bomba selepas memanjat dari luar.
“Api kemudian berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.25 tengah hari tadi.
“Bagimanapun kebakaran itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa tetapi kerosakan harta benda dalam premis berlaku teruk ekoran kebakaran itu.
“Bomba meneruskan siasatan untuk mengenalpasti punca yang mengakibatkan kebakaran itu dan pada masa yang sama anggaran kerugian akibat kebakaran itu juga masih dalam siasatan kami,” ujar beliau. – MalaysiaGazette