TEHRAN – Bekas Ahli Parlimen Afghanistan dan pengawal peribadinya ditembak mati di rumahnya di ibu negara Kabul.
Mursal Nabizada, 32, adalah salah seorang daripada beberapa ahli Parlimen yang tidak meninggalkan Kabul selepas Taliban merampas kuasa pada Ogos 2021.
Malah, beliau menolak peluang untuk meninggalkan Afghanistan walaupun menerima ancaman.
Abangnya dan seorang pengawal keselamatan kedua pula cedera dalam serangan tersebut.
Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran berkata, pasukan keselamatan telah memulakan siasatan serius terhadap kejadian tersebut.
Sementara itu, bekas ahli Parlimen Afghanistan, Mariam Solaimankhil berkata, Nbizada adalah “seorang pelopor sejati – wanita yang kuat dan lantang mempertahankan apa yang dia percayai, walaupun dalam menghadapi bahaya”.
“Walaupun ditawarkan peluang untuk meninggalkan Afghanistan, dia memilih untuk tinggal dan berjuang untuk rakyatnya,” tulisnya di Twitter.
Nabizada, dari wilayah timur Nangarhar, dipilih sebagai ahli Parlimen Kabul pada 2018 dan kekal berkuasa sehingga pengambilalihan Taliban.
Beliau juga adalah Ahli Suruhanjaya Pertahanan Parlimen dan bekerja di Institut Pembangunan Sumber Manusia dan Penyelidikan.
Ramai wanita yang mempunyai pekerjaan profesional terkemuka di Afghanistan selepas pencerobohan diketuai Amerika Syarikat dua dekad lalu meninggalkan negara itu selepas Taliban kembali berkuasa. – Agensi