PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memperoleh markah tercorot berdasarkan pandangan awam.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, ia telah dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali semasa Sesi Pemukiman Jemaah Menteri semalam.
Salah satu puncanya kerana masalah bekalan ayam dan telur.
“Masalah ayam dan telur telah berlaku selama setahun, bukan berlaku selepas kita (Kerajaan Perpaduan) mengambil alih negara sejak Disember lalu.
“Malah markah itu bersambung sejak kepimpinan lalu sehingga ke hari ini,” kata Mohamad pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 MAFS di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, pihaknya akan cuba mengatasinya dan dalam masa sama memberitahu, buat masa ini bekalan ayam sudah stabil manakala telur pula dijangka dapat distabilkan tidak lama lagi.
Selain itu, menurutnya, langkah kerajaan mengimport telur ayam dari India tidak bersifat kekal dan ia hanya untuk menampung permintaan di pasaran.
Menurut Mohamad, selepas keadaan stabil, keputusan akan dibuat sama ada untuk meneruskan atau menghentikan import itu.
“Proses mengimport telur masih berjalan, kita bukan nak lama kalau keadaan sudah stabil sikit pihak kementerian akan buat (keputusan) sama ada untuk menghentikan atau meneruskan bergantung kepada keadaan.
“Telur import ini bukan kekal, hanya menampung untuk sementara, yang kekal, kita bergantung kepada penternak telur tempatan,” ujarnya.
Menjelaskan mengapa kerajaan mengimport telur dari India, Mohamad berkata, pengeluar dari negara itu dapat memenuhi keperluan bekalan yang dikehendaki Malaysia dengan segera.
“Waktu itu kita buat (keputusan) cara segera, kita pilih mana yang beri tawaran dengan cepat. Kalau kita mahu import cara biasa, ia mungkin memakan masa kerana perlu melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga mendedahkan pembekal telur itu juga pembekal sama yang membekalkan telur ayam semasa Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar dan ia menunjukkan ada kepercayaan di pihak pembeli.
Tambah Mohamad, bekalan telur ayam import dari India itu juga sudah mematuhi pelbagai spesifikasi dan syarat diperlukan.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan memutuskan untuk mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari mulai 15 Disember tahun lalu bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya. – MalaysiaGazette