SEREMBAN – Lebih 140,000 suri rumah di seluruh negara telah mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sepanjang tempoh 1 Disember hingga 11 Januari lalu.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 135,357 suri rumah adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berdaftar dalam sistem eKasih manakala kira-kira 6,000 orang lagi adalah suri rumah yang mencarum sendiri.
Menurut beliau, secara keseluruhan, kira-kira tiga juta suri rumah dianggarkan layak menyertai SKSSR.
“Kami berharap semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan agensi kerajaan turut terlibat mempromosikan SKSSR.
“Harapan saya untuk tahun ini sekurang-kurangnya 500,000 suri rumah yang mendaftar,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian faedah SKSSR kepada waris empat suri rumah di Dewan Raja Melewar, Wisma Perkeso Seremban hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Operasi), Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar; Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J. Arul Kumar dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi.
Terdahulu, Sivakumar menyampaikan faedah SKSSR kepada waris empat Suri Rumah Berinsurans (SRB) yang telah meninggal dunia di sekitar negeri ini iaitu Allahyarhamah Zainab Mamat, Allahyarhamah Noraseyah Abu Hassan, mendiang Anjalai Mariyappan dan Allahyarhamah Aniza Muhamad Zin.
Di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838), waris kepada SRB yang meninggal dunia layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 manakala bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak maksimum RM300 sebulan disediakan mengikut kelayakan syer orang tanggungan.
FPM dan Pencen Penakat adalah faedah yang disediakan di bawah SKSSR apabila berlaku kematian.
Faedah ini dibayar kepada orang tanggungan seperti duda dan anak-anak yang layak apabila SRB meninggal dunia sebelum mencecah usia 55 tahun.
Beliau berkata, hasil rujukan silang melalui sistem eKasih setakat 11 Januari lalu, mendapati seramai 37 suri rumah yang dilindungi SKSSR telah meninggal dunia sekali gus melayakkan waris-waris mereka menerima manfaat skim berkenaan.
Sehubungan itu, Sivakumar berharap agar lebih ramai suri rumah tampil mencarum dengan SKSSR kerana mereka dapat melihat sendiri manfaat yang disediakan sama ada untuk suri rumah yang ditimpa musibah atau waris yang ditinggalkan mereka.
“Saya juga menyeru para suami untuk mencarum bagi pihak isteri mereka demi menghargai jasa dan pengorbanan suri rumah,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kerajaan belum mempunyai perancangan untuk meningkatkan had umur penyertaan SKSSR sehingga 60 tahun.
Sivakumar menambah, kajian akan dilakukan dalam masa dua tahun akan datang sebelum perkara itu dipertimbangkan.
“Kena tengok banyak aspek, (seperti) kesan dari segi aktuari, tak boleh saja-saja naikkan had umur ke 60 atau 65 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette