PUTRAJAYA – Hutang negara ketika ini mencecah RM1.2 trilion dan jika dicampur liabiliti, ia mencecah RM1.5 trilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 “Membangun Malaysia Madani” di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, pendekatan pentadbirannya ke atas ekonomi berbeza dengan politik kerana ia mesti berdasarkan angka, data fakta.
“Antara cabaran kerajaan adalah masalah hutang negara sudah mencecah hampir RM1.2 trillion. Ini adalah kenyataan kerana ada yang pertikai kerana kenyataan berubah-berubah. Itu kalau termasuk liabiliti sudah RM1.5 trillion,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, rakyat perlu berdepan kenyataan di mana kemelesetan ekonomi belum reda dan masih dianggap kelam akibat tempias perkembangan antarabangsa global.
“Perang Ukraine-Russia dan juga pasca Covid-19 antara penyumbangnya. Kalau ikut unjuran IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) sendiri pun, ia terus menurun. Bila kaji semula, turun sedikit.
“Jadi, ekonomi pimpinan perlu usaha dan wakil-wakil kementerian harus terima kenyataan ini.
“Ia tidak boleh anggap bisnes seperti biasa dan jadi selesa. Sebab itu beberapa hari lalu saya popularkan the culture of contentment, seolah-olah semua okay.
“Kami hebat, catat kejayaan baik, projek baik dan semua baik. Itu kenyataan hambar, bertentangan dengan data. Sebab itu kita mulakan dengan berikan angka sebenar,” katanya.
Anwar turut memberitahu, hutang pada 2022 adalah sebanyak RM45 billion iaitu 15 peratus daripada hasil kerajaan.
“Ini juga maksima, cecah kadar maksima yang mampu ditangani negara. Ada alasan seperti Covid-19. Ada cara pendekatan yang berbeza dan kita tak boleh tangani tahun 2023 ini dengan selesa,” katanya – MalaysiaGazette