TEMERLOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya merampas barangan bernilai lebih RM1 juta yang cuba diseludup masuk dan keluar dari negeri ini sepanjang tahun lepas.
Menurut Pengarah Kastam Pahang, Wan Apandi Wan Hassan, ia membabitkan sebanyak 226 kes penyeludupan rokok, minuman keras, kenderaan, mercun dan lain-lain dengan cukai keseluruhan bernilai RM4,558,497.78.
“Komoditi rokok tak bercukai catat jumlah rampasan tertinggi iaitu 4,333,022 batang dalam 155 siri rampasan yang dibuat tahun lalu dengan nilai RM 509,744.92,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Temerloh hari ini.
Tambah Wan Apandi, sebanyak 17,361.54 liter minuman keras seludup bernilai RM 173,000 juga berjaya dirampas membabitkan cukai bernilai RM1,404,656.23 dalam satu rampasan dibuat tahun lalu.
“Tahun lalu juga, sebanyak 22 buah kenderaan pelbagai jenis dengan nilai RM335,000 yang cuba diseludup juga telah dirampas. Ia membabitkan nilaian cukai berjumlah RM248,577.50,” jelas Wan Apandi.
Selain itu, katanya, JKDM Pahang turut merampas sejumlah 335.62 tan mercun pelbagai jenis bernilai RM12,321.92 dengan nilaian cukai sejumlah RM8,389.50 menerusi tiga siri rampasan sepanjang tahun lalu dan komoditi lain-lain yang bernilai RM13,991.60.
JKDM Pahang juga merekodkan peningkatan rampasan bagi komoditi rokok tidak bercukai dan mercun sejak 1 Januari 2023 berbanding tahun lalu.
“Sebanyak 3,141,812 batang rokok seludup dengan nilai RM255,741.76 telah dirampas, membabitkan rampasan terbesar pada 5 Januari lalu yang dengan nilai cukai keseluruhan sebanyak RM2,099,170,” katanya.
Tambah beliau, sejumlah 1,483.15 tan mercun pelbagai jenis bernilai RM74,239 dengan nilaian cukai sebanyak RM48,255.35 juga berjaya dirampas dalam bulan pertama bagi tahun ini.
Dalam pada itu, Wan Apandi menyeru orang awam supaya tidak terlibat dan memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan. – MalaysiaGazette