KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia pada 2022 melebihi RM2 trilion untuk dua tahun berturut-turut dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994, dengan eksport berkembang sebanyak 25 peratus kepada RM1.55 trilion.
Nilai eksport itu melebihi unjuran Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2025 sebanyak 24%, tiga tahun lebih awal dari sasaran yang ditetapkan.
Manakala import mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila buat julung kalinya telah melebihi aras RM1 trilion.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, lebihan dagangan yang ke-25 tahun berturut-turut telah direkodkan sejak 1998.
”Ini merupakan gambaran positif bahawa perdagangan negara sedang berada pada trajektori peningkatan yang didorong oleh faktor permintaan luar yang tinggi serta harga komoditi yang kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagi pasaran pula, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun telah mencatatkan nilai tertinggi baharu.
Menurut beliau, kenaikan eksport yang ketara turut dicatatkan ke pasaran baharu seperti Mesir, Sri Lanka, Mozambique, Papua New Guinea, Togo, Djibouti dan Afghanistan.
Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.
Sementara itu, eksport ke pasaran di bawah perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuat kuasa tahun lepas telah mencatatkan pertumbuhan dua digit.
Eksport sektor barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian merekodkan nilai tertinggi setakat ini dengan pertumbuhan dua digit.
Pertumbuhan eksport yang mampan ini disokong oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, petroleum mentah serta jentera, kelengkapan dan peralatan, yang mana setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM10 bilion dengan pertumbuhan dua digit.
Kesemua barangan ini juga merekodkan nilai eksport tertinggi kecuali petroleum mentah, ujar beliau.
Prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh seiring dengan pasaran-pasaran di rantau ini terutamanya Taiwan dan Korea berikutan permintaan global yang mantap.
”Walaupun berada di dalam landskap global semasa yang mencabar, kami akan terus memperkasakan aktiviti promosi perdagangan antarabangsa serta eksport agar dapat memperkukuhkan lagi daya tahan perniagaan dan seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette