Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas menyaksikan tayangan eksklusif Filem Duan Nago Bogho di Starling Mall Damansara, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2023.

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Ahmad Fahmi Fadzil berpendapat filem Pulau tidak sesuai untuk ditayangkan.

Justeru, badan berwajib perlu meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan perkara ini tidak lagi berlaku.

“Pada pandangan saya sendiri filem itu tidak sesuai (untuk ditayangkan). Ini pandangan (peribadi) saya sendiri.

“Saya juga difahamkan pihak Finas telah mengeluarkan kenyataan pada hari ini, tapi ia bukan pada aspek penapisan dan apa-apa prosedur yang dipantau oleh Finas itu adalah berlandaskan kepada SOP hubungan antara LPF dengan Finas.

“Mungkin kita kena teliti semula beberapa SOP kerana jelas di sini telah berlaku satu pelanggaran dan saya difahamkan, LPF telah memberi kelulusan pada bulan September tahun lalu, sebelum saya jadi menteri, sebelum kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya selepas menyaksikan tayangan eksklusif filem Duan Nago Bogho, malam tadi.

Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil bersama Pengarah, Sabri Yunus menyaksikan tayangan eksklusif Filem Duan Nago Bogho di Starling Mall Damansara, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2023.

 

Bagaimanapun, Ahmad Fahmi berkata, pihaknya telah menghubungi syarikat pawagam iaitu GSC dan meminta pihak penerbit agar menarik balik tayangan treler filem tersebut.

Menurut Fahmi, beliau turut difahamkan berdasarkan laporan yang diterimanya, berkemungkinan terdapat babak-babak yang dipotong terlepas masuk ke ‘trailer’ filem tersebut.

“Trailer itu tidak ada potongan seperti dalam filem sebenar, tapi saya tidak boleh bercakap lebih daripada itu dan saya mohon dengan rakan-rakan media untuk berhubung dengan pihak LPF.

“Saya telah minta pihak Finas untuk di masa hadapan, perkara ini perlu kami teliti, kaji semula dan rombak SOP. Kami tak nak jadi seperti ini, kelulusan itu diberi tanpa penelitian yang lebih khusus, saya rasa perlu ada penelitian,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Fahmi difahamkan penerbit telah membuat keputusan untuk menarik balik atau menurunkan trailer tersebut dan menyediakan edit yang baharu.

Semalam, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menegaskan, pihaknya tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan filem bergenre seram, Pulau yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF).

Bagaimanapun, katanya, Finas boleh membatalkan sesebuah lesen sekiranya pemegang lesen disabitkan kesalahan berkaitan kecurangan, penipuan atau keburukan akhlak.

Untuk rekod, filem Pulau telah mendapat kelulusan LPF pada September 2022 menerusi tugasan penapisan yang dilaksanakan panel tiga orang Ahli Lembaga Penapis.

Trailer filem terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio mencetuskan kontroversi apabila memaparkan babak panas, selain menunjukkan pelakon wanita berbikini.

Pulau mengisahkan percutian impian sekumpulan rakan di pulau eksotik berubah menjadi mimpi ngeri apabila berlaku kejadian mistik dengan kehadiran makhluk ilmu hitam. – MalaysiaGazette