MELAKA – Peniaga wanita kontroversi berasal dari Kemboja didenda RM40,000 manakala anak lelakinya dilepaskan dengan bon sebanyak RM10,000 selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas dua tuduhan menghina rakyat, khususnya kaum Melayu tahun lepas.
Pengakuan itu dibuat Mariyah Yaakob, 48, dan Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam, 23, di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Mariyah didakwa menggunakan aplikasi TikTok dan membuat suatu penyataan iaitu “so ada apa-apa, kalau orang Kemboja memang pandai berniaga kan, betul tak? dan orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu, malas”.
Penyataan itu dikeluarkan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu pada kira-kira pukul 6 petang 16 November tahun lalu dan kemudian rakaman itu ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ezuan Hafsham yang juga Pengarah Mariyah Holding didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dalam prosidingnya mencadangkan hukuman setimpal dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan amat serius yang menyentuh isu 3R iaitu Race, Religious, Royalty.
Hujahnya, meskipun kedua-dua tertuduh telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia menerusi media sosial ia bukan alasan untuk meringankan hukuman terhadap mereka.
Peguam kedua-dua tertuduh, Kamal Hisham Jaafar pula dalam rayuannya meminta hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana pengakuan salah telah menjimatkan masa mahkamah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Azaraorni memerintahkan Mariyah membayar denda sebanyak RM40,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar denda itu. Mariyah membayar denda berkenaan.
Ezuan Hafsham pula dikenakan bon untuk berkelakuan baik sebanyak RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette