KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Payments N twork Malaysia Sdn Bhd (PayNet), telah melancarkan projek rintis Cashless@PEDi di 28 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) terpilih di seluruh negara untuk membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat luar bandar melalui pameran dan aktiviti yang bakal diadakan melalui PEDi.
PayNet yang dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan 11 bank tempatan adalah pengendali rangkaian pembayaran runcit kebangsaan dan perkongsian infrastruktur berpusat untuk pasaran kewangan Malaysia.
Projek rintis Cashless@PEDi ini bertepatan dengan matlamat mempertingkatkan tahap literasi pembayaran digital di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.
Menurut kajian cerapan pembayaran digital PayNet 2022 (PayNet Digital Payments Insights Study 2022), 78% rakyat negara ini masih lagi cenderung menggunakan pembayaran tunai pada tahun 2021, 11% kurang berbanding tahun 2020.
Namun, trend penggunaan tunai kembali meningkat pada 2022, terutamanya di kawasan luar bandar.
Projek rintis ini bermula di PEDi PPR Sri Pantai dan PEDi PA Seri Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 31 Disember 2022 yang mana penduduk setempat didedahkan dengan maklumat dan kelebihan kaedah pembayaran tanpa tunai serta berpeluang menikmati pengalaman berbelanja tanpa tunai melalui pelbagai kaedah e-pembayaran yang dikendalikan oleh PayNet, seperti kad debit (MyDebit), JomPay, DuitNow QR, dan sebagainya.
Pada Januari ini, kempen Cashless@PEDi diteruskan di PEDi Taman Kelisa dan PEDi FELDA Soeharto di Selangor, dan diikuti di beberapa PEDi di Negeri
Sembilan, Melaka dan Johor. MCMC dan PayNet akan mengkaji keberkesanan projek rintis ini sebelum program ini diperluaskan di PEDi lain di seluruh negara.- MalaysiaGazette