Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid menyampaikan sijil penghargaan kepada wartawan MalaysiaGazette, Muhammad Azizul Osman sempena perbarisan tahunan 2023 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam perancangan untuk menambah 12 ekor lagi anjing pengesan K9.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, langkah itu  perlu selepas unit itu menunjukkan prestasi baik dalam aktiviti mencari dan menyelamat (SAR) ketika tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Batang Kali bulan lalu.

“Tahun ini kita akan beli 12 ekor lagi anjing pengesan selepas kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU), sedia ada 36 ekor (aset hidup).

“Sebenarnya K9 ini adalah disiplin khas dan bukan boleh dikatakan kumpulan K9 biasa.

“Seekornya sekali dengan pakej pengendali memakan belanja yang tinggi lebih RM400,000 seekor,” katanya kepada media selepas menghadiri perbarisan tahunan 2023 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di ibu pejabat JBPM hari ini.

Untuk rekod, enam milik Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dan dua milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan 12 mangsa yang tertimbus dalam tragedi di Father’s Organic Farm.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, penambahan unit K9 itu bagi perancangan untuk menambah cadangan cawangan K9 di bahagian utara.

“Kita berdoa agar Kementerian Kewangan memberikan kita sedikit peruntukan tersebut untuk urban SAR, untuk SAR dalam hutan belantara.

“Kita ada tiga pusat sahaja, di Kuala  Lumpur, Lembah Klang dan selatan. Orang utara juga perlu respon K9 juga. Jadi kita kena perlu fikir adakah kita perlu kembangkan ke utara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, JBPM juga dalam perancangan untuk menambah asetnya dengan membeli 150 jentera di mana lima daripadanya jentera khas untuk memadamkan kebakaran.

“CAPS (Compress Airform System) merupakan jentera yang berkapasiti dan berteknologi tinggi yang boleh mengeluarkan buih pemadaman.

“Kita juga akan membuat perolehan bagi kenderaan utiliti dan penyelenggaraan helicopter dan pesawat dan pembinaan balai bomba dan kita akan rasmikan beberapa balai termasuk di Parlimen Tambun kawasan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Sempena perbarisan tahunan ini, seramai 15 wartawan dan pengamal media diraikan dan menerima sijil penghargaan pengamal media daripada 12 agensi media. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast