SEPANG – Dihukum ala ‘latihan ketenteraan’ seperti jalan itik sambil membawa air seberat 20 kilogram di bawah terik matahari dan mencangkung berjam-jam.
Itu antara hukuman yang perlu diharungi remaja lelaki semasa ditahan sindiket perkerjaan di Myawaddy, Myanmar.
Chong Shi Yu, 19, mendedahkan perkara itu selepas tiba ke tanah air bersama seorang lagi mangsa di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Hasratnya untuk bekerja di Bangkok dengan tawaran gaji yang tinggi bertukar menjadi detik hitam apabila ditipu oleh rakannya dan terpaksa bekerja sebagai scammer.
“Kawan beri tawaran untuk bekerja di sebuah syarikat di Bangkok menerusi media sosial Facebook dengan gaji sebanyak RM3,000 sebulan,” katanya.
Berasal dari Seremban, Shi Yu berkata, ‘syarikat’ yang mengatur sebuah kereta mengambilnya di lapangan terbang dan dibawa ke Sungai Golok sebelum diminta untuk bertukar ke kenderaan lain.
“Kami singgah di hotel untuk satu malam kemudian di bawa ke Bangkok keesokan harinya. Dari Bangkok mereka bawa ke Mae Sot dan dari situlah mereka menggunakan jalan tikus untuk membawa kami tiba ke Myawaddy.
“Saya tidak dapat melarikan diri kerana dikawal oleh sindiket yang mempunyai senapang,” katanya.
Dia yang berada di Myanmar sejak Januari tahun lalu terpaksa menjadi scammer dengan modus operandi menyasarkan negara Eropah.
Seorang lagi mangsa, M. Sasivarman, 24, turut menghadapi nasib yang sama dan dipaksa menjadi scammer untuk negara Hong Kong.
Sementara itu, ibu Chong yang mahu dikenali sebagai Madam Ng, 46, sebak menyambut kepulangan anaknya apabila kali terakhir mereka berjumpa adalah tiga tahun lepas.
Katanya, anaknya ada memberitahu bekerja di Kuala Lumpur pada 2020 sebelum tidak dapat dihubungi pada Januari 2022.
“Selepas buat buat laporan polis sebab dia (anak) tidak dapat dihubungi, Shi Yu telefon beritahu dia selamat dan saya menarik semula laporan itu,” katanya.
Wanita yang bekerja sebagai pengasuh itu berkata, pada bulan April 2022, anaknya itu menghubunginya meminta untuk diselamatkan dan memaklumkan tidak boleh bercakap banyak kerana sindiket memerhatikannya.
Madam Ng berkata, dia kemudian mengubungi Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang untuk mendapatkan bantuan dan ternyata kepulangan anaknya hari ini hadiah sempena Tahun Baharu Cina ini. – MalaysiaGazette
Janji-janji gaji yang tinggi oleh scammer kerja termasuk agensi pekerjaan bukan di luar negara tetapi di dalam Malaysia pun ada.Harap semua pihak berkuasa atau kementerian terlibat ambil tindakan tegas dengan menghukum mereka dengan hukuman yang berat seperti mana mereka lakukan.
Pastikan sesiapa yang terlibat atau bersubahat tidak terlepas terutama mereka-mereka yang menyebabkan kehilangan nyawa rakyat Malaysia