Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff (kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA (UiTM) YBhg. Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi ( kanan) semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bank Rakyat dan UiTM.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat memperuntukkan dana berjumlah RM50 juta sebagai usaha untuk memperkasa graduan ke arah keusahawanan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, program ini menyediakan kemudahan modal perniagaan menerusi pembiayaan perniagaan Bank Rakyat sehingga RM100,000.

“Peruntukan itu adalah untuk modul latihan merangkumi kursus keusahawanan, pengurusan perniagaan dan strategi pemasaran serta program latihan inklusif secara ‘hands-on’ bersama syarikat vendor terpilih selama tiga hingga enam bulan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Bank Rakyat dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di bawah inisiatif ‘Graduate Mentoring Program’’.

Ahmad Shahril berkata, Bank Rakyat sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah membangunkan pelbagai program pemerkasaan usahawan yang menyeluruh bagi memastikan setiap golongan usahawan mendapat bantuan dan sokongan yang diperlukan.

“Bank Rakyat amat mengalu-alukan dan menghargai komitmen yang diberikan oleh UiTM sebagai rakan kerjasama strategik di bawah inisiatif ini yang bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dan kompetitif,” katanya.

Tambah beliau, usaha ini merupakan manifestasi Bank Rakyat dalam mendukung objektif Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030).

“Ia sejajar dengan aspirasi Bank Rakyat dalam memacu pembangunan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang digariskan di bawah pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25).

Di samping itu, sebagai salah satu Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), Bank Rakyat melihat inisiatif bersama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ini juga dapat membantu kerajaan menangani isu kebolehpasaran graduan dengan memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya,” ujarnya. – MalaysiaGazette