KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan dibidas kerana mendakwa siasatan ke atas bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas merupakan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.
Veteran UMNO Tan Sri Shahrir Samad secara sinis menyindir Ambiga yang hanya bersuara berkaitan penyalahgunaan kuasa apabila berlaku ke atas rakan sendiri.
Shahrir berkata, reaksi yang ditunjukkan oleh Ambiga seolah-olah undang-undang adalah untuk kumpulan yang diwakilinya sahaja.
“Thomas sendiri mengaku dalam bukunya dia seorang ‘political lawyer‘ sepanjang kerjayanya. Bukan seorang peguam yang mempertahankan ‘rule of law’ atau kedaulatan undang-undang.
Ambiga pun begitu jugalah.
“Sama pemikiran sempit. Bila terkena kepada kawan sendiri, ia salah guna kuasa dan semestinya atas dorongan politik.
“Kuasa dan undang-undang adalah demi kepentingan politik sempit kumpulan mereka sahaja. Melenting apabila disentuh oleh proses keadilan!” kata Shahrir.
Tambah Shahrir, bekas Presiden Majlis Peguam itu kelihatan begitu marah apabila Tommy disoal siasat.
“Ia salah guna kuasa jerit Ambiga. Dan terus menyoal adakah ia kerana UMNO berada dalam Kerajaan Malaysia Madani (dulu dipanggil sebagai Kerajaan Perpaduan) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Pantang betul untuk Ambiga melihat Thomas disoal siasat oleh polis. Terus melenting menuduh berlakunya salah guna kuasa atas sebab politik,” kata Shahrir.
Shahrir antara pemimpin UMNO yang ditahan dan didakwa ketika Pakatan Harapan berkuasa dan Tommy merupakan Peguam Negara ketika itu.
Mahkamah membebas dan melepaskan beliau baru-baru ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan dan memohon supaya Shahrir dilepaskan.
Media semalam melaporkan, Ambiga mempersoalkan sama ada terdapat motif politik di sebalik siasatan terhadap Tommy.
Ambiga mendakwa, siasatan ini adalah salah satu tuntutan UMNO kepada Pakatan Harapan.
“Saya ingin bertanya kepada kerajaan reformis PH – adakah ini salah satu tuntutan UMNO berhubung penyiasatan Tommy Thomas?
“Adakah ia mempunyai kaitan dengan dakwaan terhadap beberapa pemimpin UMNO? Dan saya ingin tahu daripada PH, apa lagi yang anda sudah berikan?” tambah Ambiga.
Polis melancarkan siasatan terhadap Tommy atas dakwaan kenyataan perkauman yang dibuatnya terhadap kerajaan dalam forum bertajuk “Dark Forces Towards GE15” pada 17 September tahun lalu.
Ambiga antara yang dipanggil semalam untuk membantu siasatan.-MalaysiaGazette