PUTRAJAYA – Dua ahli UMNO masing-masing dari Kuala Terengganu dan Seremban menghantar notis bantahan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), di sini, hari ini.
Jurucakapnya, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir mendakwa, usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang diluluskan PAU2022 tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.
“Perlembagaan UMNO, Fasal 9.3 menyatakan Presiden, Timbalan Presiden hendaklah dipilih Mesyuarat Perwakilan Bahagian tiap-tiap tiga tahun sekali.
“Ia bagi memastikan demokrasi di dalam UMNO sentiasa subur.
“Dalam mencadangkan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan, wakil UMNO Bahagian Rembau telah membolehkan pihak berkepentingan mengambil kesempatan dan secara tidak langsungnya telah melemah serta menjejaskan proses demokrasi di peringkat tertinggi di dalam UMNO.
“Oleh yang demikian, semangat dan niat di sebalik peruntukan ini telah dilanggar,” katanya pada sidang media di luar ibu pejabat RoS, di sini, hari ini.
Terdahulu Aizat Fikri dan Muhammad Fiqri Firdaus dari Seremban, Negeri Sembilan menghantar notis bantahan keputusan PAU2022 ke ibu pejabat RoS, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Notis itu diterima Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad di pejabatnya di Blok D7, Kementerian Dalam Negeri, di sini.
Sabtu lalu, PAU2022 meluluskan usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Hasil undian itu mendapati lebih 90 peratus perwakilan bersetuju dengan usul berkenaan, manakala kurang 10 peratus sahaja tidak bersetuju dengan pindaan itu.
Usul tambahan itu telah dikemukakan oleh wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin ketika berucap sebagai pencadang usul ucapan Dasar Presiden.
Dalam pada itu, Aizat Fikri mendakwa, usul tambahan itu juga tidak sah kerana tiada notis 14 hari dikemukakan sebelum hari persidangan.
“Jika ia diusulkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memerlukan tujuh hari sebelum hari persidangan.
“Usul tambahan tersebut telah melanggar Peraturan 10, Perlembagaan UMNO di mana telah dinyatakan bahawa apa-apa usul perlulah disampaikan dalam tempoh tertentu,” katanya.
Malangnya, MKT gagal menerangkan bahawa usul tersebut mustahak atas faedah orang ramai.
“Bukan sahaja tiada penerangan daripada MKT. bahkan perkara ini tidak boleh dianggap sebagai faedah orang ramai, tetapi hanya menguntungkan dua individu di dalam parti.
“Maka usul yang dikenalkan tersebut adalah dilihat tidak sah kerana tidak menurut ketetapan Perlembagaan UMNO,” dakwanya.
Selain itu, Aizat Fikri semua keputusan atau usul diputuskan di dalam persidangan yang bertentangan dengan Perlembagan UMNO, adalah tidak sah.
“Peraturan UMNO, Perenggan 4.1 menyatakan bahawa persidangan hendaklah diadakan menurut Perlembagaan UMNO.
“Peraturan UMNO perenggan 15.3 menyatakan laporan persidangan perlulah dilakukan dan mesti dihantar kepada RoS dalam tempoh 28 hari selepas persidangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar RoS melihat laporan tersebut dan seterusnya memutuskan untuk tidak meluluskan usul tersebut di dalam laporan persidangan itu.
“Perlembagaan UMNO di Fasal 29 memberi kuasa RoS untuk meluluskan Peraturan Persidangan UMNO.
“RoS mempunyai kuasa untuk tidak meluluskan usul tersebut jika RoS mendapati ada peraturan persidangan tidak dipatuhi, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya,” katanya.
Katanya lagi, melalui Akta Pertubuhan 1966, RoS mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada mana-mana penubuhan yang tidak mematuhi perlembagaanya.
“RoS mempunyai kuasa untuk tidak meluluskan usul yang dibawa atas dasar usul tersebut telah dijalankan secara bertentangan dengan Perlembagaan UMNO di mana terdapat pelanggaran dari segi penyampaian notis usul tersebut.
“Kami memohon agar pihak RoS boleh mempertimbangkan perkara di atas dan seterusnya memutuskan tindakan lanjut wajar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette