NEGARA kini menghadapi dua cabaran semasa iaitu perubahan iklim dan jaminan makanan yang memerlukan campur tangan teknologi tinggi untuk menanganinya. Kedua-dua cabaran ini mempunyai hubung kait yang boleh mendatangkan kesan buruk yang besar jika tiada sebarang perancangan rapi jangka masa panjang dibuat. Tambahan lagi, kebergantungan sumber makanan Malaysia yang tinggi dari luar negara yang melebihi nilai RM60 bilion pada tahun 2021 boleh mendatangkan risiko yang tinggi apabila berlaku krisis ekonomi atau kesihatan seperti pandemik Covid-19 yang lalu.
Cabaran semasa berkaitan perubahan iklim di Malaysia termasuk peningkatan suhu, pola hujan yang tidak menentu, dan peningkatan frekuensi dan intensiti bencana alam seperti banjir dan kekeringan menjejaskan sektor pertanian, seterusnya memberi kesan kepada jumlah hasil tanaman di pasaran. Hal ini boleh membawa kepada peningkatan harga makanan di pasaran yang akan membebankan kos sara hidup rakyat. Satu jalan penyelesaian mampan perlu dirangka dan dilaksanakan dengan segera supaya hasil pertanian mampu memenuhi permintaan makanan dalam negara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan makanan import.
Oleh yang demikian, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memiliki tanggungjawab untuk memimpin negara dalam mencari penyelesaian kepada cabaran-cabaran tersebut. Pendekatan berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bukan sahaja dapat melindungi rakyat dari kesan buruk bencana, malah ia juga dapat memacu ekonomi negara serta meningkatkan kualiti hidup rakyat. Dalam merangka tindak balas awal untuk mengatasi cabaran semasa seperti perubahan iklim dan jaminan makanan, kemampuan daya jangka STI (STI foresight) yang berpandu pada data sangat penting.
Ini untuk memastikan negara dapat menyediakan pelan mitigasi dan adaptasi yang lebih cekap untuk menghadapi cabaran tersebut. Namun pada masa yang sama, MOSTI perlu meneroka pembangunan teknologi tinggi baharu yang boleh diaplikasikan dan dikomersilkan dalam sektor industri bagi mendepani cabaran tersebut. Selari dengan kenyataan Menteri MOSTI, YB Tuan Chang Lih Kang semasa sidang media selepas Majlis Amanat 2023 baru-baru ini, fokus perlu diberikan kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mendepani cabaran semasa sejajar dengan Pelan Hala Tuju Negara Kecerdasan Buatan 2021-2025 (AI-RMAP). “Teknologi AI boleh membantu kita menyelesaikan masalah besar yang kita hadapi sekarang, terutamanya jaminan makanan dan juga perubahan iklim,” ujar Chang Lih Kang.
Teknologi AI dianggap sebagai teknologi masa hadapan yang akan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi dan mewujudkan bakat berkemahiran tinggi. Menurut MarketsandMarkets Research, dianggarkan nilai pasaran AI global mampu mencecah USD190 bilion menjelang tahun 2025. Dapatan ini seharusnya mendorong lebih banyak pemain industri untuk terlibat dalam pembangunan teknologi AI memandangkan ianya mampu untuk dikomersilkan di dalam dan luar negara. Kepesatan teknologi AI juga telah menuntut keperluan bakat-bakat baru untuk menceburkan diri dalam industri tesebut yang menawarkan gaji dan pendapatan yang sangat baik.
Selain itu, peningkatan keupayaan teknologi AI telah membolehkan teknologi tersebut diintegrasikan dalam pelbagai sektor industri termasuklah sektor pertanian. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan China juga telah menggunakan teknologi AI secara meluas yang telah terbukti mampu meningkatkan hasil tanaman pada kadar penggunaan sumber yang optimum. Dengan kemajuan teknologi dan peningkatan keperluan untuk penghasilan makanan yang lebih efisien dan mampan, dijangkakan lebih banyak negara akan mengaplikasikan teknologi AI dalam sektor pertanian mereka.
Penerapan teknologi AI dalam industri pertanian telah membawa kepada pengenalan kaedah-kaedah baru seperti precision agriculture yang mengaplikasikan machine learning dan Internet of Things (IoT) bagi tujuan pembajaan dan pengurusan tanaman. Kemajuan ini semestinya mampu meningkatkan hasil tanaman dan memastikan sumber dapat diuruskan dengan lebih efisien. Selain itu, teknologi-teknologi berasaskan AI seperti
dron, sensors, dan sistem pengairan dapat dibangunkan untuk mengoptimumkan hasil tanaman.
Government AI Readiness Index 2020 oleh Oxford Insights meletakkan Malaysia di posisi nombor satu di Asia Tenggara dan nombor 28 di peringkat global. Dapatan ini menunjukkan potensi besar yang dimiliki oleh negara dalam membangunkan teknologi AI dan seterusnya menjadi pemain utama di peringkat global. Sokongan kerajaan, kewujudan bakat dan kemahiran tempatan, sektor kajian dan pembangunan (R&D) dan
penglibatan industry merupakan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada pembangunan teknologi AI dalam negara.
Justeru, bagi memastikan perkembangan teknologi AI dalam negara sudah semestinya memerlukan sokongan daripada syarikat-syarikat pemula (startups) dan pemain industri yang perlu mengadaptasi dengan budaya baharu yang berasaskan inovasi. Transformasi sektor pertanian berasaskan digital dan teknologi AI mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan dalam negara dan seterusnya menangani cabaran jaminan makanan, di samping dapat menjana pulangan yang baik kepada syarikat dan perniagaan.
Penetapan hala tuju melalui AI-RMAP membuktikan komitmen MOSTI dalam menerokai teknologi AI bagi memacu pembangunan dalam pelbagai sektor termasuklah industri pertanian. MOSTI akan bekerjasama rapat dengan agensi dan pemain industri dalam usaha mewujudkan ekosistem inovasi AI yang kondusif bagi mempercepatkan adaptasi teknologi AI. Melihat kepada potensi dan peluang pasaran, teknologi AI mampu menjadi
salah satu pendorong kepada pembentukan Negara berteknologi tinggi menjelang 2030, seiring dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030. Ia juga seiring dengan aspirasi Chang Lih Kang, Menteri MOSTI yang mahu melihat Negara mengambil langkah proaktif melalui pengaplikasian teknologi AI dalam menangani isu dan cabaran semasa negara.
Oleh: Muhammad Arshad Hassni
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Material dari
University of British Columbia, Vancouver Canada