MELAKA – “Mujurlah hari ini kami lima beranak tidak bersarapan di beranda rumah seperti kebiasaan, kalau tidak tak tahulah apa nasib kami.”
Itu nada syukur dilontarkan S. Saratha, 41, apabila tembok batu dan pagar beranda rumah teres didiaminya bersama suami dan tiga anak runtuh dirempuh sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan pagi tadi.
Menurutnya, ketika kejadian dia dan suami, P. Senthil Kumar, 45, bersama tiga anaknya masing-masing berusia 20, 15 dan 13 tahun masih tidur kerana cuti umum Tahun Baharu Cina.
“Selalunya, memang kalau hari bekerja, kami sekeluarga akan meluangkan waktu sarapan bersama di beranda rumah tapi syukurlah hari ini kami lewat sikit bangun tidur.
“Saya terkejut dari lena kira-kira pukul 8 pagi tadi apabila terdengar rempuhan kuat dari arah depan rumah dan tergamam melihat sebuah kereta dalam keadaan remuk serta tembok dan pagar rumah runtuh.
“Malah dua buah basikal anak serta sebuah motosikal yang diletakkan dalam beranda juga mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bukit Senjuang di sini pagi tadi.
Jurubahasa mahkamah di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh itu berkata, kejadian mengakibatkan kerugian hampir RM20,000.
“Selain kerosakan pada tembok rumah, turut rosak adalah motosikal dan dua buah basikal anak berharga lebih RM1,000.
“Laporan polis sudah dibuat untuk tuntutan ganti rugi terhadap lelaki berusia 28 tahun itu yang memandu kereta jenis Honda City,” katanya yang menyewa rumah terbabit pada kadar RM700 sebulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Assisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan. – MalaysiaGazette