Dr. Zambry Abdul Kadir.

KUALA LUMPUR – Putrajaya mempersoalkan tindakan kerajaan Sweden yang mendiamkan diri mengenai tindakan Islamofobik Rasmus Paludan, ahli politik Sweden-Denmark yang ekstrem membakar naskah al-Quran di Stockholm pada 21 Januari lalu.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Zamby Abdul Kadir, Malaysia tidak boleh menerima tindakan Sweden untuk tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan aktiviti melampau itu sehingga boleh memberi kesan yang serius terhadap hubungan antara Sweden dan umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan segera terhadap pelaku perbuatan terkutuk ini dan mengambil langkah yang serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di Sweden.

“Tindakan keji ini jelas merupakan serangan secara terang-terangan terhadap Islam dan umat Islam di seluruh dunia, yang telah melampaui batas moral dan norma hak kebebasan bersuara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan terhadapĀ  Paludan.

Malah Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan keji Paludan dan tindakan segera perlu diambil terhadap beliau.

Zambry berkata, tindakan keji itu jelas merupakan serangan secara terang-terangan terhadap Islam dan umatnya di seluruh dunia selain telah melampaui batas moral dan norma hak kebebasan bersuara.

Katanya, ketaksuban, perkauman dan penodaan keji terhadap kitab suci itu, tanpa mengira agama adalah tidak boleh diterima dan wajar dikutuk.

“Malaysia mengulangi bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disamakan dengan kebebasan menghina. Ia bertentangan dengan prinsip sejagat dalam menghormati agama.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama untuk memerangi sentimen Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni serta kewujudan bersama secara aman di kalangan individu yang berbeza agama dalam komuniti global yang pelbagai.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan segala bentuk keganasan dan kebencian terhadap Islam termasuk sentimen islamofobia dan ekstremisme,” katanya lagi.

The Washington Post sebelum ini melaporkan, Paludan menerima permit daripada Kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu di hadapan bangunan Kedutaan Turkiye.

Tindakan itu disebabkan Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan terhadap penyertaan Sweden dan Finland ke dalam NATO.

Turkiye mendakwa kedua-dua negara itu menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia gesa Sweden ambil tindakan terhadap pembakar al-Quran