Jenin
Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa Kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan terhadap ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskhah Al-Quran di Stockholm.

Perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan keji Paludan dan tindakan segera perlu diambil terhadap beliau.

Kerajaan Sweeden juga digesa untuk melakukan langkah drastik untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di negara itu.

“Pencemaran terhadap kitab suci Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakan adalah sama dengan mencetuskan Islamofobia.

“Dan merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti bukan sahaja kepada negara Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion umat Islam di dunia,” tegas Anwar dalam kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan: Negara Islam diseru kecam tindakan bakar al-Quran di Sweden

Perdana Menteri berkata, Malaysia mengecam jenayah kebencian yang berulang kali dilakukan dengan menyasarkan umat Islam di dunia.

Malaysia juga mengecam segala bentuk hasutan dengan menyebarkan kebencian dan menyemarakkan perkauman sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan dan pandangan.

Menurut Anwar, Malaysia bimbang terhadap gelombang ucapan kebencian yang semakin meningkat disebabkan kepercayaan atau etnik.

“Malaysia mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog, penglibatan dan saling menghormati dalam penyelesaian pertikaian dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak penghinaan kaum atau agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan kekal bersatu menentang segala bentuk hasutan untuk kebencian dan keganasan,” kata Anwar.

The Washington Post sebelum ini melaporkan, Paludan menerima permit daripada Kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu di hadapan bangunan kedutaan Turkiye.

Tindakan itu disebabkan Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan terhadap penyertaan Sweden dan Finland ke dalam NATO.

Turkiye mendakwa kedua-dua negara itu menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu.

Pauludan ahli politik yang juga pemimpin kumpulan antipendatang dan anti-Islam Hard Line mula mendapat perhatian umum pada 2017 apabila dia mula membuat video YouTube anti-Muslim.

Paludan mewajarkan aksinya di Denmark – seperti membakar kitab suci umat Islam, adakalanya dibungkus dengan daging – kononnya sebagai penghormatan kepada hak kebebasan bersuara.-MalaysiaGazette