Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Johor perlu mengambil tindakan keras terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menganggu gugat keharmonian antara kaum menerusi pembelajaran di sekolah.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, tiada seorang pun rakyat di negeri itu boleh dipinggirkan daripada program awam berdasarkan keturunan bangsa dan agama yang dianutinya.

“Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain. Saya cukup menitik beratkan betapa pentingnya untuk persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.

“Jabatan Pendidikan mesti bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat. Ini juga pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka.

“Tiada orang patut disisihkan daripada suatu program awam kerana agama atau bangsanya. Jika benar ada yang telah diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur. Begitu juga jika didapati tuduhan adalah tidak benar dan dilempar oleh pihak tidak bertanggungjawab,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook.

Baginda bertitah merujuk berita tular yang mendakwa sebuah bengkel peperiksaan dianjur hanya untuk pelajar Muslim di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sultan Ibrahim juga bertitah, isu-isu yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor mesti ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa.

Titahnya, tindakan pantas dan tepat oleh pihak berkuasa akan mencegah kekeliruan dan penularan sentimen berbaur kebencian.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, pihaknya mendapati tiada isu diskriminasi terhadap penganjuran bengkel Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran sebuah sekolah menengah di sebuah hotel di Johor baru-baru ini.

KPM berkata, bengkel tersebut diadakan atas inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru yang telah menganjurkan dialog prestasi yang kemudiannya disusuli dengan penganjuran bengkel tersebut oleh pihak sekolah.

Katanya, ia adalah kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).

KPM berkata, laporan awal mendapati, bengkel tersebut merupakan satu daripada pelbagai perancangan pihak berkaitan bagi memastikan murid tanpa mengira kaum, dapat membuat persediaan menjelang SPM.

Jelasnya, pada 19 dan 20 Januari lalu, Bengkel Persediaan Peperiksaan SPM untuk calon itu dilaksanakan di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 calon yang gagal Bahasa Melayu dan Sejarah serta calon GALUS (gagal lulus) beberapa mata pelajaran lain.

KPM memaklumkan, bengkel dilaksanakan itu diasingkan mengikut siri untuk mengelak gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut Tahun Baharu Cina. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada diskriminasi dikesan pada penganjuran bengkel SPM anjuran sekolah di Johor – KPM

1 Komen

  1. Dasar Ekonomi Apartheid aka DEB/NEP beri 30% ekonomi kepada majority pribumi supaya minority bukan pribumi meraih 70% ekonomi lebih tak adil lagi zalim berbanding hak samarata menurut peratus % sesuatu kaum. Tambahan lagi, Orang Asli dan Dayak kerugian besar tiada dapat peruntukan wang sekolah vernakular demi bahasa-bahasa ibunda mereka juga politikus Pak Pandir ooii!

Comments are closed.