PUTRAJAYA – Kadar inflasi di negara ini mampu kembali ke paras normal sebelum ini iaitu sekitar lebih dua peratus berdasarkan petanda baik apabila ia reda pada bulan lalu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kadar inflasi pada Disember 2022 reda apabila turun kepada kepada 3.8 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya, malah ia juga lebih rendah berbanding bulan-bulan sebelumnya.
“Semua komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) menyederhana kecuali komponen restoran dan hotel dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.
“Peningkatan harga makanan dan minuman di luar rumah, terutamanya di restoran dan hotel adalah penyumbang utama kepada kadar inflasi,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.
Rafizi menambah, kadar inflasi Malaysia pada tahun 2022 adalah 3.3 peratus dan ia selari dengan unjuran Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2023.
Menurutnya, kemuncak kadar inflasi pada tahun lalu berlaku pada Ogos dan September 2022 dengan masing-masing berada pada paras 4.7 peratus dan 4.5 peratus.
“Graf dilihat menurun dan itu satu petanda baik. Kita berharap ia akan beransur ke paras inflasi yang lebih normal iaitu paras sebelumnya sekitar lebih dua peratus,” katanya. – MalaysiaGazette