KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka membuat keputusan mengenai tindakan disiplin terhadap bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar Jumaat ini.
Media yang berkumpul di lobi ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini dimaklumkan MKT UMNO akan bermesyurat pada Jumaat.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan hari ini memberitahu, status keahlian Khairy Jamaluddin dalam parti akan diketahui petang ini.
Mohamad mengesahkan perkara itu dalam sidang media selepas membuat tinjauan kerja ke tapak pembinaan perumahan program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Sungai Besi, hari ini.
“Petang ini,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita.
Bagaimanapun media yang berkampung di Menara Dato’ Onn mendapati tidak ada sebarang kelibat pemimpin UMNO yang hadir.
Beberapa sumber memberitahu hanya Lembaga Disiplin UMNO mengadakan mesyuarat.
Media baru-baru ini melaporkan, Lembaga Disiplin UMNO akan membincangkan dakwaan yang dibuat Khairy Jamaluddin berkenaan cubaan membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi mengundi usul jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selepas itu ia akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk dibincangkan.
“Itu satu perkara lain yang akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagiannya (Mohamad),” kata Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas Ucapan Penggulungan Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Kesihatan mendakwa beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini sempena PAU 2022.
Menerusi satu video di akaun TikTok, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.-MalaysiaGazette
Baguslah macam tu.. buang semua yang buat kerja.. lepas tu bagi UMNO lingkup.. memang tu pun tujuan depa..