KUALA LUMPUR – Umat Islam dinasihatkan supaya tidak menganjurkan sebarang tindak balas yang berunsur ‘tidak bertamadun’ terhadap perbuatan biadab ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan membakar naskhah al-Quran, baru-baru ini.
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, mereka harus berpegang erat pada ajaran agama Islam secara tulen serta berdisiplin.
Menurut beliau, dengan cara itu, dunia dapat melihat nilai-nilai jati diri umat Islam yang mulia dan murni untuk dijadikan contoh teladan terbaik kepada puak-puak ekstremis agama lain agar mereka terus insaf terhadap segala kesilapan-kesilapan yang memalukan itu.
“Agama Islam dipenuhi dengan ajaran-ajaran yang mulia dan ilmu toleransi yang tinggi.
“Biar kita mempamerkan nilai mutu tamadun yang tinggi dan membuktikan kepada seluruh dunia bahawa agama Islam itu adalah ‘ad-din’ yang harus diikuti oleh semua masyarakat, tanpa mengira mereka dari kaum ataupun agama mana sekali pun.
“Agama Islam harus ditunjukkan sebagai agama yang terbaik dan agama contoh yang diakui oleh semua pihak di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Perbuatan Paludan yang dapat disaksikan melalui rakaman video yang tular dalam media sosial telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Pas merancang untuk menganjurkan perhimpunan bagi membantah perbuatan Paludan itu di hadapan Kedutaan Besar Sweden di sini, esok.
Sementara itu, Khairuddin menyifatkan perbuatan Paludan itu tidak boleh diterima akal fikiran yang waras serta tidak boleh dimaafkan sama sekali.
Beliau berkata, unsur-unsur ekstremisme serta provokasi tidak sepatutnya berlaku pada zaman moden dan serba canggih ini.
“Malangnya, dunia pada hari ini masih dibelenggu oleh unsur-unsur yang boleh mencetuskan perbalahan di antara kaum dan agama, yang amat mengecewakan kita semua.
“Tindakan jahat Paludan, Ketua Parti Stram Kurs yang kini di bawah perlindungan polis mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk membakar al-Quran di Stockholm, amat mengecewakan dan memalukan,” jelasnya. – MalaysiaGazette