KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan sudah memulakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Insolvensi Malaysia untuk melibat bagaimana boleh membantu membawa golongan belia keluar daripada masalah muflis.
“Kita bukan nak buat program kesedaran tetapi nak buat insolvensi dan polisi untuk mengeluarkan golongan belia daripada kategori ini (muflis).
“Perkara ini akan menjadi perhatian utama kami,” kata menterinya, Hannah Yeoh.
Menurut beliau, sehingga November 2022, statistik menunjukkan jumlah belia muflis berusia bawah 25 hingga 34 tahun adalah seramai 10, 507 orang.
Jelasnya, jika situasi ini dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian holistik sudah pasti ia membebankan golongan berkenaan kerana mereka yang muflis sukar untuk mencari pekerjaan, membeli rumah dan membuka akaun bank.
Sebelum ini, Hannah berkata, golongan belia muflis ini memerlukan intervensi kerajaan dan KBS untuk membantu mereka keluar daripada kepompong masalah berkenaan.
Berdasarkan maklumat Jabatan Insolvensi Malaysia, jumlah kes muflis membabitkan belia di negara ini menunjukkan trend penurunan dalam tempoh tiga tahun sejak 2020 iaitu sehingga Jun lalu adalah 10,137 orang.
Penurunan kes muflis bagi belia berumur bawah umur 25 tahun merekodkan 21 orang pada 2020 dan turun kepada 20 orang pada 2021, manakala hanya enam orang direkodkan sehingga Jun lalu. – MalaysiaGazette