Datuk Mohd Yusof Abu Hasan

MELAKA – Sudahlah rumah teres kos rendah berharga kurang RM50,000 yang diharapkan tidak dibina, projek itu pula didakwa akan diganti dengan rumah mampu milik (RMM) bernilai lebih RM200,000 sekali gus membuatkan mereka hanya mampu melihat dari jauh.

Lebih mengecewakan, apabila Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menyerahkan projek pembinaan rumah itu  kepada sebuah syarikat pemaju lain, sedangkan agensi itu sepatutnya berperanan membela nasib rakyat kurang berkemampuan untuk memiliki rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan berkata, katindakan LPM itu amat mengecewakan penduduk yang rata-rata bergaji rendah untuk memiliki rumah sendiri di kawasan pinggir bandar itu.

“Tanah seluas 2.7 ekar (1.09 hektar) terletak di Pulau Gadong bersebelahan Taman Gadong Perdana ini LPM dah serahkan kepada sebuah syarikat pemaju untuk membina kira-kira 150 unit rumah kos rendah 15 tahun lalu.

“Namun, projek seunit rumah sekitar RM40,000 tidak dibina sehingga kini dan saya difahamkanm LPM sudah serahkan pula tanah itu kepada syarikat pemaju lain tapi ditukar kepada rumah mampu milik yang harganya lebih RM200,000 sebuah.

“Soalnya, kenapa LPM tak teruskan bina rumah kos rendah? Malah saya difahamkan syarikat ini bayar kos sumbangan kepada LPM berjumlah RM20,000 untuk satu unit rumah bagi melenyapkan projek rumah kos rendah ini,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rahman Osman

Mengulas lanjut beliau turut mempersoalkan apakah peranan sebenar LPM yang sepatutnya membantu rakyat menangani masalah kos sara hidup dengan memilik rumah khususnya bagi golongan B40 bukannya mengaut keuntungan jutaan ringgit melalui sumbangan.

“LPM bukannya agensi yang mencari keuntungan, tapi untuk bantu rakyat dan dasarnya untuk majukan tanah dengan rumah-rumah kos rendah.

“Saya amat terkilan, kerana selama 15 tahun kita rakyat tunggu untuk beli rumah kos rendah bernilai RM40,000 ketika itu tapi hari ini mereka hanya mampu melihat,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Abdul Rahman Osman, 74, berkata, anak-anaknya terpaksa membeli rumah lain yang jauh dari kawasan pinggir bandar itu yang dijanjikan bakal dibina rumah kos rendah 15 tahun lalu.

Hamzah Ibrahim

“Sebagai orang kampung, memang kalau nak beli rumah yang harganya tiga atau empat kali ganda lebih tinggi dari rumah kos rendah itu kami tak mampu.

“Sebab itu kami amat berharap kerajaan negeri dapat menilai semula tanah 2.7 ekar di Pulau Gadong ini agar dikembalikan kepada rancangan asal membina rumah kos rendah untuk rakyat B40,” katanya.

Pandangan sama dilontarkan Sidang Kampung Tengah, Klebang Hamzah Ibrahim yang berharap isu terbabit dapat segera diselesaikan memandangkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terbengkalai di Klebang masih dalam proses baik pulih sehingga kini. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast