MEMANDANGKAN dua jawatan tertinggi UMNO tidak dibuka untuk pertandingan, tiga kerusi naib presiden dijangka menjadi rebutan dalam pemilihan parti tahun ini.
Setakat ini, belum ada ura-ura tiga penyandang jawatan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan memberi laluan kepada muka-muka baharu.
Jadi, buat masa ini, boleh diandaikan ketiga-tiga mereka yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan akar umbi akan mempertahankan jawatan masing-masing.
Ismail Sabri bakal menjadi tumpuan memandangkan statusnya sebagai bekas Perdana Menteri dan naib presiden paling kanan memberi kelebihan kepada beliau dalam pemilihan yang perlu diadakan dalam masa enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Parlimen Bera itu juga merupakan antara pemimpin parti yang secara terbuka mempersoalkan keabsahan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Tindakan itu secara tidak langsung mencetuskan spekulasi bahawa Ismail Sabri mungkin berada dalam kem yang berbeza dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Berbeza pula dengan Mohamed Khaled yang selama ini dilihat teguh mempertahankan keputusan parti sejak ia berada di bawah kepimpinan Ahmad Zahid dan Mohamad.
Selain kesetiaan terhadap pucuk pimpinan sedia ada, jawatan Menteri Pendidikan Tinggi yang disandangnya pasti memberi kelebihan dan memperkukuhkan lagi pengaruhnya dalam parti.
Sementara itu, Mahdzir yang kehilangan kerusi Parlimen Padang Terap pada PRU-15 dijangka perlu berusaha lebih keras bagi meyakinkan ahli-ahli UMNO untuk memilihnya semula.
Sekiranya Ismail Sabri, Mahdzir dan Mohamed Khaled memilih untuk mempertahankan jawatan naib presiden, terdapat kemungkinan mereka akan dicabar oleh nama-nama besar dalam UMNO.
Setelah sepenggal tidak berada dalam barisan pimpinan tertinggi UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka membuat penampilan semula dengan bertanding untuk jawatan Naib Presiden yang pernah disandangnya selama lebih sembilan tahun mulai Mac 2009 hingga Mei 2018.
Ahli Parlimen Sembrong itu memilih untuk tidak bertanding di peringkat Pusat pada pemilihan penggal 2018-2021.
Seorang lagi tokoh berprofil tinggi yang berpotensi untuk bersaing bagi jawatan Naib Presiden ialah bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Walaupun beliau kini tidak lagi bergelar Ahli Parlimen atau menteri Kabinet, pengaruhnya selaku bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO masih ada dan boleh dijadikan sandaran untuk menyokongnya dalam persaingan itu.
Setelah gagal dalam pertandingan jawatan presiden pada pemilihan sebelum ini, jawatan naib presiden memberi ruang terbaik kepada Khairy untuk kembali bertapak dalam barisan pucuk pimpinan UMNO.
Sejak dari awal penubuhannya, UMNO belum pernah mempunyai seorang naib presiden wanita yang diangkat melalui proses pemilihan parti.
Datuk Seri Azalina Othman Said dilihat mempunyai karisma dan keupayaan untuk memecahkan tradisi yang selama ini memilih pemimpin-pemimpin lelaki untuk mengisi jawatan Naib Presiden UMNO.
Namun, ia bergantung kepada beliau sendiri sama ada ingin keluar dari zon selesa dan naik setingkat lagi dalam hierarki kepimpinan UMNO atau kekal mempertahankan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi. – MalaysiaGazette