MELAKA – Seorang lelaki boleh disifatkan gila talak apabila sanggup tinggal sebumbung dengan dua anak serta bekas isterinya yang diceraikan lapan tahun lalu.
Rahsia pasangan berusia 48 dan 52 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Limbongan, di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pemeriksaan pukul 1 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam daripada Ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM).
“Hasil maklumat diterima, kita memeriksa lokasi terbabit sebelum mendapati lelaki berusia 48 tahun dan bekas isterinya 52 tahun tinggal di rumah itu bersama dua lagi anaknya masing-masing lelaki dan perempuan berusia 14 dan 17 tahun.
“Semakan mendapati, mereka telah bercerai pada 2015 dan mengaku masih terus tinggal bersama walaupun tidak pernah merujuk semula selepas berpisah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tambahnya, susulan itu kontraktor dan peniaga makanan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.
Sabit kesalahan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, JAIM berterima kasih kepada orang awam dan ahli RASEIM yang terus membantu menyalurkan maklumat bagi mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.
“Kita mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian.
“Sebarang aduan juga boleh disalurkan melalui talian hotline dan WhatsApp RASEIM, 017-2621280,” ujarnya. – MalaysiaGazette.