KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan dua kejadian kebakaran melibatkan sebuah gudang pakaian di Mutiara Fadason, di sini, baru-baru ini yang menyebabkan kerugian kerugian RM1.5 juta.
Suspek, Logeswaran Govindaraja yang berusia 41 tahun dengan alamat terakhir M2-3-14 Jalan Pandan Indah 6/1, Pandan Indah, di sini, dikenalpasti sebagai dalang dengan mengupah individu sebanyak RM10,000 bagi melakukan jenayah itu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, menerusi kamera litar tertutup, siasatan mendapati terdapat kelibat suspek memanjat tembok dan membaling sesuatu ke arah gudang tersebut yang mencetuskan kebakaran menyebabkan kerosakan peti ais, sofa serta peti suis elektrik yang berada di bahagian luar gudang tersebut pada 6 Januari lalu.
Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
“Pada 11 Januari lalu jam 4.30 pagi, pihak polis telah terima satu lagi laporan mengenai kejadian kebakaran melibatkan gudang yang sama dan kali ini kebakaran berlaku di bahagian belakang dalam gudang tersebut sebelum pengadu mendapati segala stok baju Melayu dan lain-lain barang tidak pasti telah musnah terbakar.
“Kebakaran kedua itu telah menyebabkan stok baju Melayu yang telah terbakar adalah sebanyak 14,400 helai membabitkan anggraan kerugian bernilai RM1.5 juta dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, ini.
Tambah beliau, berdasarkan risikan polis telah melakukan enam serbuan di beberapa lokasi di Selangor antara jam 11 malam 15 Januari hingga 4.30 pagi 18 Januari lalu yang membawa kepada penahan sembilan lelaki berusia antara 24 hingga 34 tahun.
“Pemeriksaan lanjut ke atas mereka polis juga berjaya membuat rampasan sebuah motosikal dan pakaian yang dipakai oleh suspek serta sebuah tong minyak berisi petrol yang digunakan untuk membakar gudang tersebut dan mereka direman bagi membantu siasatan lanjut polis.
“Pihak polis juga mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dan empat lagi negatif,” ujarnya.
Menurut Eng Lai, dua suspek telah dituduh di mahkamah semalam Januari lalu bagi kejadian pertama manakala tiga lagi dituduh bagi kejadian kedua di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan sementara baki empat lagi suspek dijadikan saksi pendakwaan.
Tambah beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai adalah orang upahan untuk membakar gudang tersebut dengan menerima bayaran sebanyak RM10,000 daripada dalang utama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Jamaluddin di talian 017-7331772 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206. – MalaysiaGazette