Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ucapan itu terkandung dalam surat dari Rumah Putih bertarikh 24 Januari lalu yang diutuskan kepada Perdana Menteri.

Anwar menambah, Biden turut memuji amalan demokrasi di negara ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Beliau menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia termasuk dalam bidang ekonomi digital, krisis iklim dan keterjaminan tenaga.

“Saya berharap dapat bekerjasama secara erat dengan beliau demi manfaat bersama rakyat di kedua-dua negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

biden
Salinan surat daripada Jo Biden kepada Anwar Ibrahim.

Dalam surat tersebut, Biden antara lain berkata, hubungan antara Malaysia dan AS yang dibina atas asas yang teguh dalam bidang ekonomi, keselamatan dan hubungan sesama rakyat telah membantu memperkukuhkan kebebasan, keselamatan dan kemakmuran di rantau Indo-Pasifik.

Menurut beliau, AS dan Malaysia secara bersama telah membangunkan ekonomi digital yang selamat, menangani krisis iklim serta cabaran keterjaminan tenaga.

“Kita telah mempromosikan tatacara antarabangsa berasaskan peraturan dan melindungi hak asasi manusia.

“Kita juga bersama-sama memperluaskan Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia bagi meluaskan hubungan antara kedua-dua negara,” jelasnya.

Untuk tahun-tahun akan datang, Biden berharap kerjasama itu dapat dipertingkatkan lagi termasuk untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mewujudkan rantaian ekonomi yang berdaya tahan merentasi Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik.

Beliau percaya AS dan Malaysia secara bersama berupaya mewujudkan satu rantau yang bebas, terbuka, selamat dan makmur yang memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yang paling bahaya statement “hak asasi manusia” tu? Hati2, LBG, LBGT, LBGTQ? Agen2 mereka sudah ramai disini? Kepada dunia barat itu hak asasi? Kah..kah..kah..

Comments are closed.